16 Disember, 2013

Hoki Remaja Dunia: Dibelasah 7-2, M'sia tempat keempat

SKUAD hoki remaja negara menamatkan saingan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2013 di tempat keempat apabila tewas 2-7 kepada Belanda dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Nasional Major Dhyan Chand, New Delhi, India hari ini.

Prestasi skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah itu melepasi sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang menyasarkan kedudukan keenam terbaik pada kejohanan berkenaan.

Kejayaan itu menyamai pencapaian Malaysia dalam kejohanan sama pada 1979, 1982 dan 1985.

Pasukan Belanda, naib juara Piala Dunia Remaja 2009, memperoleh gol mereka menerusi Roel Bovendeert seawal minit ketiga, Thierry Brinkman (minit 6, 28), Tom Hiebendaal (18, 37), Milan Van Baal (23) dan Jelle Galema (52).

Dua gol Malaysia diperoleh melalui Zulhairi Hashim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ketujuh dan minit ke-60. - Bernama


EmoticonEmoticon