19 Disember, 2013

Jantan dayus, teman wanita jadi mangsa

Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU - Jantan dayus. Itulah yang boleh digelar terhadap seorang lelaki yang tergamak menjadikan teman wanitanya sebagai ‘bank’ untuk mendapatkan wang secara mudah bagi menampung perbelanjaan hariannya.

Lelaki berusia 20an itu bukan sahaja memaksa teman wanitanya yang berusia 21 tahun menyara hidupnya sepanjang bercinta, malah bagaikan binatang, dia turut menggunakan kekerasan dengan mencederakan wanita malang itu apabila hajatnya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak diendahkan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang, berhampiran bangunan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Gong Badak, Ahad lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa telah dijemput oleh suspek di tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Gong Badak, di sini, sebelum dibawa ke bangunan LTSM Gong Badak, di sini.

“Semasa di lokasi, pasangan kekasih ini mula bertengkar mulut selepas mangsa enggan memberikan wang seperti yang diminta oleh suspek atas alasan tidak mempunyai wang.

“Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, mangsa yang sudah biasa dengan sikap paran baran suspek mengambil keputusan berdiam diri dengan harapan masalah itu tidak berpanjangan,” katanya.

Jelas sumber, namun, sangkaan mangsa meleset sama sekali apabila suspek bertindak seperti dirasuk apabila menumbuk di bahagian mata kirinya sebanyak tiga kali serta di bahagian paha kirinya sekali.

“Tidak cukup dengan itu, suspek telah menoreh kaki seluar dipakainya dengan sebilah pisau kecil sehingga koyak,” katanya.

Kata sumber, akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di mata kiri.

Katanya lagi, mangsa nekad membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan dirinya dan keluarga kerana sebelum ini suspek kerap kali mengugut akan membakar rumah keluarganya serta akan membunuh dirinya dan keluarga sekiranya tidak memberikan wang atau cuba menjauhkan diri darinya.

“Selain itu, mangsa mendakwa, suspek sebelum ini juga selalu memukulnya lebih-lebih lagi apabila gagal memberikan wang yang diminta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan mengesahkan suspek sudah ditangkap.


EmoticonEmoticon