16 Disember, 2013

Kes bunuh anggota, ini janji Panglima TLDM

Dukacita dimaklumkan pada minggu lalu terdapat kejadian anggota dilaporkan lemas di Stesen UNIFORM TLDM. Mangsa dikenalpasti sebagai 834143 LK I PAP Asrup bin Raidin. Kejadian dilaporkan berlaku semasa mangsa sedang melaksanakan latihan renang di dalam danau stesen. Anggota berumur 27 tahun dan berasal dari Tenom, Sabah (Kampung Jawa Melalap Tenom, Sabah).

Walaubagaimanapun, pihak keluarga mangsa telah mendakwa bahawa anggota berkenaan telah dipukul sebelum dilaporkan mati lemas. Pihak media telah menyebarkan gambar muka anggota mangsa termasuk kesan lebam dan terdapat kesan dicucuh dengan puntung rokok. Ia telah membangkitkan persoalan daripada banyak pihak kerana punca kematian tersebut adalah meragukan dan seolah-olah terdapat konspirasi di pihak pegawai mangsa untuk menutup cerita sebenar. Pada ketika ini juga, wajah suspek yang didakwa membelasah anggota sehingga mati telah tersebar di laman internet.

Justeru pihak TLDM telah mengeluarkan kenyataan rasminya bahawa kes ini akan disiasat bagi memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan dari kejadian kematian arwah.

Panglima Tentera Laut (PTL) turut melahirkan rasa dukacita di atas kejadian tersebut dan berjanji akan menyiasat dan memastikan perkara ini diambil tindakan dengan sewajarnya. Sekiranya dakwaan keluarga anggota benar, pihak TLDM akan memastikan individu yang terlibat dalam kejadian ini dibicarakan dan menerima hukuman yang sewajarnya.

Demi memelihara nama baik dan integriti pasukan TLDM secara amnya, PTL berharap semua pihak bersabar agar pihak berwajib dalam melaksanakan siasatan sedalam-dalamnya untuk mendapat jawapan punca sebenar atas kematian arwah. Justeru, masyarakat awam diharap dapat bersabar dan tidak menyebarkan spekulasi liar yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.


EmoticonEmoticon