06 Disember, 2013

Layanan buruk, Pengarah Kesihatan mohon maaf

SEREMBAN: “Saya memohon maaf bagi pihak jabatan atas kejadian itu dan menyifatkan tindakan terbabit seperti seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan.

Beliau berkata demikian selepas menerima aduan di Facebook daripada seorang keluarga pesakit Hospital Jempol, dekat sini, yang tidak berpuas hati tindakan jururawat dan pemandu ambulans hospital itu yang berhenti makan ketika membawa pesakit.

Aduan itu tersebar luas di laman sosial berkenaan selepas pengadu menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap jururawat dikatakan bercakap kasar, memberi layanan buruk dan mengumpat pesakit.

Dalam aduan itu, pengadu menyatakan kekecewaan apabila pada jam 11 malam 30 November lalu, pemandu ambulans berhenti di kedai makan untuk menjamu selera selama 30 minit sedangkan ibunya diserang strok dibiarkan sendirian dalam kenderaan.

Menurut aduan, kejadian berlaku ketika ibu pengadu dalam perjalanan dipindahkan dari Hospital Jempol ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, untuk rawatan lanjut.

Zailan berkata, setakat ini, beliau hanya menerima penerangan ringkas dan akan memeriksa secara terperinci.

Menurutnya, dalam isu itu pemandu ambulans serta jururawat tetap disalahkan kerana melanggar peraturan bekerja, namun pengadu difahamkan turut bertindak keterlaluan.

“Saya sebelum itu dimaklumkan pengadu meminta dua jururawat menjaga ibunya sedangkan hospital kekurangan kakitangan dan menerima ramai pesakit menyebabkan permintaannya tidak dilayan,” katanya.

Beliau berkata, biarpun begitu, pihaknya akan menegur kakitangan hospital itu, namun tindakan penggantungan tugas tidak dapat dibuat kerana ia bukan kes jenayah.

“Pemandu ambulans tidak akan digantung kerja kerana Hospital Jempol mengalami kekurangan pemandu,” katanya.

Kata Zailan, enam hospital dan 46 klinik kesihatan di negeri ini turut terpalit dengan insiden berkenaan walaupun selama ini pihaknya berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

-Harian Metro


EmoticonEmoticon