24 Disember, 2013

Lydia Ko pecat jurulatih sendiri

Wellington: Bintang muda golf, Lydia Ko mengesahkan yang dia sudah memecat jurulatihnya, Guy Wilson selepas 11 tahun kerana jurulatih itu tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersamanya mengharungi siri jelajah profesional tahun depan.

Wilson yang mula membimbing pemain nombor empat dunia itu sejak usianya lima tahun, berkata dia sangat kecewa dengan perpisahan berkenaan yang hadir kurang dari dua minggu selepas Lydia menandatangani kontrak dengan pengurusan baru, IMG.

Hadkan masa

Lydia, 16, berkata dia masih berkawan dengan Wilson tetapi jurulatih berkenaan mempunyai komitmen lain di New Zealand dan itu mengehadkan masanya untuk bersama dia menjelajah dalam siri kejohanan selepas memutuskan untuk menjadi pemain profesional tahun depan.

“Ia bermaksud saya hanya akan bertemu dengannya 10 kali setahun dan bagi saya situasi itu tidak akan berjaya. Jadi, sebab itu saya berpendapat adalah lebih baik mendapatkan khidmat jurulatih yang berpangkalan di Amerika Syarikat,” kata Lydia.

Sementara itu, Wilson berkata: “Kali pertama saya bertemu dengan Lydia dia langsung tidak tahu apa itu driver atau putter. Namun kini dia salah seorang pemain yang dicemburui kerana hayunan pukulannya. “Saya kecewa dengan perpisahan ini tetapi saya perlu hormati keputusan Lydia dan pasukannya,” kata Wilson. - AFP


EmoticonEmoticon