19 Disember, 2013

Nik Aziz: Isu Syiah satu perangkap UMNO

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan isu Syiah yang dikaitkan dengan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu hanya dendam politik untuk memerangkap pemimpin dan parti berkenaan semata- mata.

Dakwanya, pemimpin parti lawan sanggup membuat dakyah baharu kerana mahu memburukkan imej parti Islam itu pada pandangan umum.

“Sekiranya pemimpin Umno ingin memerangi Syiah, kenapa pengikut ajaran itu sebagaimana yang dilaporkan berlaku di Kedah tidak ditangkap,” katanya dipetik Harakahdaily.net, semalam.

Nik Abdul Aziz mendakwa, parti lawan sebenarnya tiada modal baharu untuk dibangkitkan bagi menarik sokongan sehingga memaksa untuk ‘memerangkap’ orang nombor dua Pas kononnya terlibat dengan fahaman Syiah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemelut isu Syiah yang masih belum berakhir melibatkan Mohamad Sabu dan tindakan undang-undang yang bakal diambil pemimpin tersebut.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, rakyat kini semakin tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian yang nyata membebankan hidup mereka.

“Kenaikan tol, tambang LRT, cukai itu dan ini semuanya akan memberi tekanan kepada rakyat,” katanya.


EmoticonEmoticon