08 Disember, 2013

Pelumba negara, Josiah Ng cedera parah kemalangan

PETALING JAYA: Pelumba basikal kebangsaan Josiah Ng patah tulang rusuk dan tulang selangka yang tercucuk bahagian paru-paru selepas terbabit kemalangan pada saingan Piala Dunia Trek acara keirin di Aguascalientes, Mexico.

Josiah, wakil Malaysia di sukan Olympik sebanyak tiga kali terbabit kemalangan pada pusingan pertama keirin ketika bersaing dengan rakan sepasukan Azizulhasni.

Azizulhasni bagaimanapun, tidak terlibat dalam kemalangan itu dan menamatkan saingan di tempat keenam.

Josiah yang ditempatkan di hospital CMQ MAC berhampiran Aguascalientes kini beransur sembuh.

Menurut isteri Josiah, Kim Ong, dia dapat bercakap dengan suaminya dan pelumba itu berada dalam keadaan stabil.

Josiah juga mampu menghantar mesej di halaman rasmi Facebooknya.

"Hola ( Hello ) dari hospital Mexico saya! Saya sedikit pening sekarang tetapi saya ok. Beberapa tulang rusuk patah dan juga tulang selangka saya. Nasib baik saya masih hidup!, " Katanya.

Pusingan Piala Dunia Trek di Aguascalientes adalah yang kedua daripada tiga pusingan yang bermula dengan Manchester bulan lepas.

Pusingan seterusnya akan diadakan di Guadalajara, Mexico dari 17-19 Januari.


EmoticonEmoticon