13 Disember, 2013

Sukan Sea: Harimau Muda benam Laos 4-1

NAYPYITAW, 13 Dis (Bernama) -- Malaysia terus mengutip tiga mata penuh dalam acara bola sepak Sukan SEA Myanmar selepas mengalahkan Laos 4-1 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Zeyar Thiri di sini Jumaat.

Skuad bawah 23 tahun negara dibawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee bermula garang apabila penyerang Ahmad Hazwan Bakri membuka jaringan seawal minit keenam perlawanan dari sebelah kanan padang.

Laos menggandakan serangan bagi mencari gol penyamaan namun gagal menembusi pertahanan negara yang dikawal kemas oleh K.Reuben dan Nazirul Naim Che Hashim.

Malaysia yang mengusai perlawanan turut melancarkan beberapa serangan menerusi kapten pasukan Mohd Irfan Fazail pada minit ke-35 namun melepasi palang gol.

Kesilapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan negara, K.Ruben mengudang padah kepada pasukan negara apabila beliau nenanduk ke belakang sepakan percuma yang dilakukan oleh pemain Laos Souk Aphone Vongchiengkham pada minit ke-41.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Malaysia yang tertekan dengan kedudukan 1-1 memperkuatkan jentera serangan dengan melakukan beberapa cubaan merbahaya ke gawang gol Laos yang dikawal oleh Soukthavy Soundala.

Kegembiran Laos tidak kekal lama apabila Ahmad Hazwan menyelamat keadaan apabila berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-60 hasil hantaran lintang yang dilakukan oleh Mohd Irfan.

Kecelaruan pada pada pertahanan Laos mengundang padah kepada pasukan itu apabila pemainnya Ketsada Souksavanh menjaringkan gol sendiri pada minit ke-80.

Ahmad Hazwan mencipta hatrik apabila menjaringkan gol keempat negara pada minit ke-86.

Hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

Malaysia dijangka menghadapi saingan mencabar apabila dijadualkan menentang Singapura pada perlawanan berikutnya, Ahad ini.

Sementara itu jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee berkata beliau berpuas hati dengan aksi bertenaga anak buahnya pada babak kedua perlawanan apabila mereka kembali dapat memberi fokus sepenuhnya.

"Apa yang penting pada hari ini bukannya untuk menyalahkan kesilapan sesiapa namun adalah tiga mata penuh yang berjaya diraih oleh pasukan negara dan ini sudah pasti memberi kelebihan kepada Malaysia," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Beliau berkata prestasi cemerlang penyerang negara Ahmad Hazwan Bakri mencipta hatrik memberi cabaran kepada penyerang lain dan mereka perlu buktikan sesuatu dengan menyumbang gol jika ingin diturunkan pada perlawanan berikutnya.

Kim Swee berkata perlawanan berikutnya menentang Singapura pada Ahad ini adalah lebih mencabar dan pasukan negara pasti akan diuji sepenuhnya kerana Singapura adalah pasukan yang kuat.

"Saya belum fikirkan pasal perlawanan pada peringkat separuh akhir kerana kita masih beraksi pada peringkat kumpulan dan apa yang penting pada ketika ini adalah untuk memikirkan perlawanan berikutnya.

"Jika layak ke separuh akhir baru saya boleh cakap pasal perkara tersebut," katanya.

-- BERNAMA


EmoticonEmoticon