22 Januari, 2014

Wanita Malaysia ceroboh Kementerian Luar Singapura ditahan

SINGAPURA: Polis menahan seorang wanita Malaysia berusia 27 tahun semalam di pekarangan Kementerian Luar di sini kerana menceroboh.

Wanita itu juga disiasat kerana mengelak pemeriksaan imigresen.

Saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia, melaporkan kenyataan bersama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan polis menyatakan bahawa wanita itu mempunyai rekod sakit otak.

"Dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan polis Malaysia, ICA dan polis sudah menghubungi waris wanita itu di Malaysia dan mereka dalam perjalanan ke Singapura untuk membantu siasatan," menurut kenyataan itu.

Wanita itu kini dalam tahanan polis.

Menurut siasatan awal, wanita itu memasuki Singapura dengan kereta yang berdaftar di Malaysia pada 17 Januari melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands pada jam 1.58 petang.

Beliau meninggalkan pusat pemeriksaan itu pada jam 2 petang.
Pihak berkuasa berkata, wanita itu meninggalkan pusat pemeriksaan itu tanpa diminta berhenti oleh kerana pegawai bertugas tidak segera membunyikan penggera. - BERNAMA


EmoticonEmoticon