09 Februari, 2014

Elaun untuk guru BI cemerlang

Pagoh: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti pemberian insentif baru kepada guru Bahasa Inggeris yang memiliki penguasaan tahap sangat tinggi iaitu C1 dan C2, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemberian insentif itu berikutan pemansuhan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) mulai Disember lalu.

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan JPA untuk memberi beri insentif baru dan ia sedang diteliti JPA,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Warga Pendidik Parlimen Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di sini, semalam.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad.

Kemuka syor kepada PM

Muhyiddin berkata, selepas penelitian itu, pihaknya akan mengemukakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, guru Bahasa Inggeris yang ada C1 dan C2 akan dipertimbangkan pemberian elaun yang mungkin dibayar secara ‘one off.’ Bagaimanapun, beliau berkata, semua maklumat terperinci termasuk cara pembayaran, kaedah dan nilai akan ditentukan kemudian.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, pihaknya meletakkan aras baru bagi pendidikan negara supaya mencapai tahap global.

“Kita mahu sekolah melahirkan generasi baharu yang setanding penguasaan ilmu dengan negara maju,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis ramah mesra masyarakat Orang Asli Kampung Tambak Dapur, dekat sini, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah bersikap diskriminasi terhadap mana-mana kaum di negara ini.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan mengamalkan dasar adil dan saksama kepada semua masyarakat serta memberi peluang sama, termasuk bidang pendidikan.

Sementara itu, pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Pagoh, di Gersik, Muhyiddin meminta masyarakat pelbagai kaum negara ini mengelak daripada perkara yang boleh mencetuskan rasa tidak senang hati dalam masyakat

“Hubungan kita sudah seperti abang adik. Ini kita kena jaga sampai bila-bila supaya keadaan ini kekal,” katanya.


EmoticonEmoticon