22 Februari, 2014

Erra Fariza sedih perceraiannya dijadikan bahan lawak di internet

SHAH ALAM: Pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira terkilan apabila kes perceraiannya menjadi bahan lawak di laman sosial Facebook dan Twitter.

Beliau yang baru sahaja bercerai talak satu dengan suaminya Engku Emran Engku Ahmad berkata pelayar internet bertindak mempersendakan perpisahan itu.

“Saya sendiri serba-salah untuk memberikan sebarang kenyataan membabitkan perceraian ini memandangkan banyak pihak bertindak melampau dengan mempersendakan perceraian kami di laman sosial. Pada saya apa yang dilakukan itu sangat keterlaluan."

“Mereka tidak melaluinya jadi mereka tidak tahu. Dalam hal ini berat mata memandang berat lagi bahu memikul, tetapi tidak semua perkara yang boleh dikongsi bersama umum," ujarnya kepada wartawan selepas sesi rakaman Primadona, terbitan Astro.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 40, berkata kenyataannya berkaitan perceraian itu disalah tafsir orang ramai.

“Susah! Kalau cakap lega dan bersyukur orang akan salah anggap, cuma apa yang boleh saya perkatakan persoalan yang timbul sebelum ini sudah terjawab dan segala sudah terlerai.

"Ada yang saya kongsi sudah disalah tafsir dan jadi bahan mainan dan ia tidak bagus. Ada juga yang agak sensitif apabila membicarakan mengenai isu perceraian ini,” ujarnya.

Erra dan bekas suaminya itu bersetuju untuk menyerahkan hak penjagaan sepenuhnya anak tunggalnya kepada Engku Emran.

Erra diberikan hak lawatan dan bermalam selain cuti sekolah dan hari perayaan.

Erra juga bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya itu.

Bekas Ratu Cantik Malaysia itu pernah berkahwin dengan pelakon, penyanyi, pengarah Yusry Abdul halim pada tahun 2003.

Beliau juga pernah digosipkan dengan pelakon terkenal Hans Issac dan Awie sebelum berkahwin dengan Engku Emran.


EmoticonEmoticon