22 Februari, 2014

Jakim bidas Kassim Ahmad menerusi khutbah Jumaat

SHAH ALAM: Umat Islam di negara ini diminta agar tidak mudah percaya kepada kepada sesuatu pandangan atau hujah tertentu yang hanya dikeluarkan berdasar emosi semata-mata.

Itu peringatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaatnya hari ini.

Jakim menegaskan pertuturan yang disampaikan Rasulullah adalah wahyu daripada Allah yang merupakan sumber perundangan untuk mengatur kehidupan.

"Janganlah kita mudah percaya sesuatu pandangan atau pun hujah tertentu yang hanya dikeluarkan berdasarkan emosi dan kepentingan peribadi semata-mata.

"Sesungguhnya wahyu Al-Quran sudah sempurna namun kita memerlukan hadis atau sunnah sebagai sumber perundangan untuk mengatur kehidupan," katanya melalui khutbah Jumaat hari ini bertajuk "Hadis: Sumber Perundangan Islam".

Khutbah itu dikarang bagi menjawab tuduhan yang dibuat pemikir kontroversi, Kassim Ahmad yang menyifatkan ummat Islam terlalu mendewa-dewakan Nabi Muhammad S.A.W.

Minggu lalu, Kassim dalam satu seminar di Putrajaya menuduh ulama mengawal Islam di Malaysia menggunakan sistem “kasta paderi”, menyoal penggunaan hadis dalam menjelaskan ajaran Al-Quran dan mengatakan salah bagi orang Islam mendewakan Nabi Muhammad kerana "beliau hanya pesuruh Allah".

Kassim juga mempersoalkan pemakaian tudung oleh wanita Islam, mengatakan "rambut bukan sebahagian daripada aurat" dalam ceramahnya yang bertajuk, "Hala Tuju Malaysia dalam Masa 30 Tahun".

Jakim turut mengingatkan umat Islam agar membuat rujukan terlebih dahulu daripada sumber yang sahih dan hanya berpegang kepada sumber diiktiraf syarak bagi mengelak umat Islam berpecah-belah.

Katanya, terdapat empat sumber hukum yang disepakati jumhur ulama di dalam perundangan Islam iaitu Al-Quran, sunnah, ijma' dan qias.

"Percayalah dengan memahami sumber disepakati ulama yang menjadi rujukan sumber perundangan dalam Islam ia pasti dapat menjamin masyarakat daripada terkeliru ataupun dikelirukan.

"Sesungguhnya hadis iaitu segala yang bersandarkan kepada Rasulullah sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan memainkan peranan penting di samping Al-Quran," katanya.

Jakim berkata, terdapat empat peranan utama hadis iaitu sebagai penjelas kandungan Al-Quran dan memperincikan apa yang tidak diperincikan dalam Al-Quran,

Katanya, dua peranan lain adalah membataskan apa yang tidak dibataskan dan menetapkan sesuatu hukum yang tidak terdapat di dalam Al-Quran.

"Tugas Rasulullah selain menyampaikan isi kandungan Al-Quran, baginda juga dipertanggungjawab menerangkan dengan terperinci isi kandungan Al-Quran yang meliputi hukum, undang-undang dan sebagainya.

"Sebagaimana kita maklum, sifat Al-Quran itu ringkas maka peranan sunnah itu untuk memperincikannya seperti hadis yang menjelaskan hukum sesuatu amalan seperti sembahyang, cara melakukannya, syarat serta tegahannya," katanya.

Jakim berkata, golongan yang memperlekehkan hadis ini wujud akibat kecetekan ilmu agama selain tidak mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna.

Katanya, isu akidah yang mencemarkan nama baik Islam seperti ancaman ajaran sesat, cubaan menukar agama, anti hadis, Islam liberal, fahaman sekular, pluralisme, komunisme dan Syiah mempengaruhi umat Islam dengan mudahnya.

Antarapos


EmoticonEmoticon