28 Februari, 2014

Kaum Cina perlu bersatu semula di bawah sebuah parti baharu

KUCHING: Masyarakat Cina di Sarawak perlu bersatu semula di bawah satu pertubuhan baharu agar mereka dapat bergabung tenaga demi manfaat kaum mereka.

Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang akan melepaskan jawatan Ketua Menteri Sarawak, berkata parti baharu itu akan menawan semula budaya politik dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang diamalkan sebelum tercetusnya krisis dalaman parti itu.

Beliau berkata krisis dalaman SUPP sedikit sebanyak mengalih sokongan kaum Cina ke arah pembangkang.

"Pemimpin SUPP berbalah sudah agak lama dan masih belum ada perubahan.

"Jika SUPP dapat disusun semula atau diwujudkan parti baharu untuk menawan semula politik dalam SUPP yang diamalkan sebelum krisis saya fikir anda akan dapati kaum Cina di Sarawak lebih berminat untuk membolehkan mereka mempunyai saluran dengan kerajaan," kata Taib dalam wawancara khas dengan Bernama hari ini.

Mengenai kegagalan pembangkang untuk bertapak dalam pilihan raya negeri Sarawak, Taib berkata mereka gagal mendapatkan sokongan pengundi disebabkan jenama politik mereka yang tidak dapat diterima.

Beliau berkata kebanyakan penyokong pembangkang di Sarawak adalah kaum Cina, namun perkara itu tidak membimbangkannya kerana beliau tahu kaum Bumiputera tidak melayan janji manis pembangkang.
"Orang muda dalam polik hanya sukakan drama, mereka hanya membuat bising dan menjerit sebagai gimik untuk memenangi hati pengundi.

"Di Sarawak pembangkang sama sekali tidak akan dapat menang undi yang cukup untuk membentuk kerajaan sebab mereka tidak berupaya menambat keyakinan pengundi untuk membentuk kerajaan yang memerintah," tegas beliau.

Beliau berkata jika pembangkang mahu menjadi kerajaan alternatif, mereka perlu mempunyai tingkah laku seperti itu dan tahu cara untuk memerintah serta tidak bersikap pilih kasih hanya kepada kaum tertentu.

"Mereka perlu berupaya memenuhi janji pilihan raya dan tidak sekadar menabur janji untuk memancing undi," kata Taib.

Beliau berkata rakyat Sarawak dapat memahami dan menerima politik pembangunan yang beliau perjuangkan sepanjang tempoh 33 tahun menjadi ketua menteri.

"Itu adalah jenama politik di Sarawak yang telah diterima penduduknya," katanya.

Beliau percaya penggantinya Tan Sri Adenan Satem akan dapat meneruskan usahanya untuk meletakkan Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Taib berkata saat terindah baginya ketika memegang jawatan ketua menteri adalah setiap kali kerajaan Barisan Nasional Sarawak menang pilihan raya dengan majoriti besar.

Katanya pengalaman sepanjang 33 tahun itu membawa banyak kenangan pahit dan manis namun beliau menganggapnya sebagai cabaran untuk melonjakkan Sarawak kepada kedudukan lebih baik.

"Setiap kali kami menang pilihan raya, saya berasa sangat gembira kerana ia menunjukkan lebih banyak penduduk yang menzahirkan perpaduan mereka selain membuktikan mereka menerima manifesto saya dan manifesto BN," katanya. - BERNAMA


EmoticonEmoticon