22 Februari, 2014

Kenapa Chew Mei Fun? Ini Jawapan TPM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Datuk Paduka Chew Mei Fun adalah calon terbaik kerana mempunyai pengalaman luas dan pemilihan beliau mendapat sokongan anggota parti di semua peringkat.

“Setelah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak, walaupun tewas dengan majoriti 6,824 pada PRU13 yang lalu, kami (BN) memutuskan akan meletakkan calon dalam PRK Kajang.

“Walaupun kita tahu akan mendapat tentangan yang hebat tetapi kita anggap ini sebagai satu peluang untuk kita menawarkan khidmat kita dengan meletakkan calon yang berpengalaman dan pernah berkhidmat dalam kabinet.

“Kita yakin calon yang dipilih ini calon yang paling sesuai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat.

Muhyiddin juga menolak tanggapan BN mengambil masa terlalu untuk membuat keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak.

Muhyiddin juga menyifatkan PRK Kajang ini akan dijadikan platform parti untuk menjawab segala dakyah dan tohmahan daripada mana-mana pihak terutamanya pembangkang.

“Bukan lewat tetapi dalam tempoh masa yang sesuai. Biasanya kita buat pengumuman calon dua hari sebelum hari penamaan calon,” ujarnya.

“Inilah langkah yang sebaik-baiknya untuk menawarkan khidmat kita kepada penduduk Kajang. Kita sedar pihak pembangkang akan mengambil kesempatan dan menjadikan Kajang sebagai platform untuk membuat pelbagai perkara terhadap BN.

“Akan ada banyak isu yang akan dibangkitkan mereka. Sekiranya kita tidak bertanding siapa yang akan menjawab dan menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan,” tegasnya.

Dalam sidang media tersebut, Muhyiddin turut menyampaikan watikah pelantikan sebagai calon kepada Mei Fun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac ini sebagai tarikh mengundi untuk PRK kajang yang mempunyai pengundi dan 11 Mac sebagai tarikh penamaan calon.

Kekosongan DUN Kajang berlaku berikutan peletakkan jawatan secara tiba-tiba bekas ADUN Lee Chin Cheh untuk memberi ruang kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi tersebut.

Mei Fun telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita MCA pada 8 April, 2010, dua minggu selepas Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipilih sebagai presiden.

Selepas menghilangkan diri daripada arena politik selama tiga tahun, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysiaa muncul semula dengan memenangi kerusi Naib Presiden MCA dalam pemilihan parti hujung tahun lalu. -bnbbc.my


EmoticonEmoticon