05 Februari, 2014

Nabil Ahmad tinggalkan Mahajara Lawak Mega...

KEHEBATAN yang ditampilkan Ahmad Nabil Ahmad, 31, atau lebih mesra disapa Nabil sewaktu menyertai pertandingan Raja Lawak musim kedua enam tahun lalu begitu mendapat perhatian ramai.

Saban minggu, lawak yang dipersembahkan oleh anak kelahiran Negeri Sembilan ini tidak pernah gagal menggeletek hati peminat yang menonton.

Selepas berjaya merangkul gelaran juara melalui rancangan tersebut, Nabil kemudiannya muncul menerusi dua lagi pertandingan berbentuk serupa iaitu Maharaja Lawak Mega musim kedua pada tahun 2012 dan ketiga (2013).

Malangnya, kualiti persembahan yang diketengahkan oleh Nabil dikata- kan semakin menurun dan peminat sudah mulai bosan dengan lawak yang cuba disampaikannya.

Kecewa dengan cemuhan dan kritikan yang diterima, ayah kepada Naira Mikayla itu memutuskan untuk tidak menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) jika rancangan tersebut diperbaharui untuk musim baharu kelak.

Ikuti temu bual selanjutnya yang dijalankan sewaktu berpeluang bertemu dengannya pada majlis pelancaran Royal Slim Lishuo Magic yang berlangsung di N’dah Catering, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah yang menyebabkan anda mengambil keputusan untuk tidak mahu menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) pada masa akan datang?

NABIL: Saya berasa sedikit terkilan apabila sering mendapat kritikan dan cemuhan daripada penonton. Lebih-lebih lagi kritikan itu datangnya daripada peminat-peminat peserta MLM lain yang tidak putus-putus mengeluarkan kata-kata negatif.

Paling teruk apabila saya di‘boo’ ketika mengadakan persembahan pada minggu ke-10 di Johor tempoh hari. Nampak sangat kehadiran saya tidak disenangi oleh peminat di sana.

Ada yang mengatakan anda sudah tidak menampilkan lawak yang berkualiti berbanding peserta lain. Adakah kenyataan itu benar?

Jika lawak yang saya tampilkan tidak berkualiti, mengapa saya layak sehingga ke minggu final? Saya penat apabila kerap kali dibandingkan dengan peserta lain.

Mana tidaknya, mereka bertanding sebagai peserta berkumpulan, sedangkan saya hanyalah peserta solo. Jika khalayak perlu faham idea seorang berbanding tiga atau dua orang peserta, gaya penyampaian tentunya berbeza.

Jadi, anda nekad untuk tidak mahu melawak lagi?

Sejujurnya saya sangat sayangkan dunia lawak kerana saya lahir daripada pertandingan Raja Lawak. Jika pihak Astro mengadakan pertandingan yang disertai oleh pelawak solo sahaja, mungkin saya akan pertimbangkan untuk turut bertanding.

Ada juga yang mengatakan anda tidak sensitif kerana menjadikan juri MLM 2013 iaitu Luna Maya sebagai subjek lawak anda minggu lalu. Apa komen anda?

Saya sangat kecewa apabila komen-komen negatif itu datangnya daripada rakyat Malaysia sendiri. Saya tidak mengaibkan sesiapa dan apa yang disampaikan itu merupakan perkara yang benar. Saya faham mengenai isu sensitif yang cuba disampaikan oleh peminat kerana saya pernah dikecam akibat melakukan perkara yang hampir sama dahulu.

Jadi apa tindakan anda seterusnya?

Saya enggan mengambil tahu tentang kritikan yang ditujukan kepada saya. Biarlah apa orang mahu kata. Apa yang penting adalah persembahan yang bakal saya berikan pada persembahan akhir MLM 2013 pada Jumaat ini.

Sejak kebelakangan ini, anda dilihat lebih selesa untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara. Ada berniat untuk beralih bidang?

Bagi saya, tidak salah untuk menumpukan perhatian pada bidang pengacaraan kerana ia merupakan salah satu daripada cabang seni yang saya minati. Sewaktu diberi peluang untuk berkongsi pentas bersama Datuk Aznil Nawawi bagi mengendalikan Anugerah Industri Muzik ke-20 beberapa bulan lalu, saya berasa sungguh gembira.

Ia merupakan suatu pencapaian terbaik bagi saya. Untuk beralih arah sepenuhnya, mungkin tidak. Sebab itu saya masih menerima tawaran menyertai rancangan Lawak Ke Derr dan Super Spontan.

Apa perkembangan terbaharu anda?



Sabtu ini saya akan bergandingan bersama Datuk AC Mizal dan Neelofa untuk mengacarakan Anugerah Meletop Era. Selepas itu, saya bakal terbang ke Paris, Perancis bagi menjalankan penggambaran drama Strawberi Karipap.

Kemudian, saya akan bercuti bersama peminat kelab bola sepak Manchester United di London, England. Dalam pada itu, cawangan terbaharu gimnasium saya, Rai Fitness akan dibuka di Seksyen 13, Taman Tun Dr. Ismail pada bulan Jun ini.

Kosmo!


EmoticonEmoticon