09 Februari, 2014

Peminat fanatik lelaki cium Dato' Siti, Dato' K tarik muka?

Dek kerana terlalu gembira dan teruja, seorang peminat fanatik Dato Siti Nurhaliza bertindak secara spontan mencium tangan penyanyi nombor satu negara itu.

Momen yang mencuri tumpuan ramai tersebut berlaku ketika peminat yang dikenali sebagai Princes Ahak itu menerima hadiah daripada Siti Nurhaliza di malam konsert amal eksklusifnya, Dato' Siti Nurhaliza Live in KLCC- Where the Heart Is yang berlangsung di Dewan Plenary KLCC, malam tadi.

Hadiah tersebut sebagai saguhati selepas peminat berkenaan terpilih untuk bertanyakan soalan kepada Siti sewaku di sesi interaksi bersama para peminat yang berada di dalam dewan.

Tenang dan hanya tersenyum, Siti bagaimanapun cepat-cepat 'memujuk' suaminya, Dato' Seri Khalid Muhammad Jiwa (Dato' K) yang menonton dari tempat duduk penonton dengan berkata,

"Ala yang (sayang)... budak-budak jer", katanya sambil memandang ke arah Dato' K. Reaksi Siti itu juga sekaligus mengundang gelak ramai.

Sementara itu Siti yang ditemui sejurus usai konsert meluahkan rasa puas hati dan syukur apabila berjaya membuat persembahan pada malam pertama. Bertemakan warna putih yang melambangkan kesucian dan ketulusan, menariknya pada konsert selama 1 jam 30 minit itu, Siti memulakan persembahan dengan konsep drama muzikal yang mana secara ringkas menceritakan perjalanan hidupnya, bagaimana karier nyanyiannya bermula hinggalah beliau bertemu jodoh dan terus dikagumi hingga ke hari ini.
Siti mendendangkan sebanyak 14 buah lagu hits antaranya 'Siti Situ Sana Sini', 'Kesilapanku Keegoaanmu', medley 'Purnama Merindu' & 'Nian Dihati', 'Jerat Percintaan', 'Kau Mawarku', 'Bukan Cinta Biasa', 'Kau Kekasihku', 'Seindah Biasa', 'Ku Mahu' dan 'Pendirianku'.

Tidak cukup dengan itu Siti yang yang tampil anggun dengan persalinan kedua, terus menghangatkan suasana dengan lau Muara Hati serta sesi persembahan akustik yang memperdengarkan lagu medley 'Tanpa Kalian' & 'Intrig Cinta'.

Meninggal peminat beberapa ketika untuk menukar persalinan, tidak lama kemudian Siti muncul semula di pentas dan sambung menghiburkan penonton dengan lagu medley 'Stand Up' dan 'Remember You'. Sebagai kejutan, Siti menampilkan penyanyi Hazama lalu mereka berduet lagu cover 'Just Give Me A Reason' (nyanyian asal Pink).

Sepanjang persembahan yang diketui pengarah muzik Aubrey Suwito serta diiringi mini okestra itu, sesekali Siti mengambil peluang sesi berinteraksi bersama para peminat dengan lebih dekat.

Tambah istimewa, buat pertama kali Siti memperdengarkan lau baru berjudul 'Jaga Dia Untuk Ku'. Menurut Siti, lagu tersebut menceritakan tentang beliau dan suaminya. Lagu itu akan dimuatkan dalam album terbaru yang bakal dilancarkan pada Mac ini.

Konsert yang berakhir kira-kira jam 11 malam itu diakhiri dengan lagu 'Biarlah Rahsia' (versi Rock) dan Lebih Indah.

Konsert amal terbitan Yayasan Nurjiwa (Yayasan yang ditubuhkan Siti bersama suaminya) dengan kerjasama Siti Nurhaliza Production dan SimplySiti Sdn Bhd ini bertujuan mengumpul dana bagi tujuan kebajikan.

Dewan tidak hanya dipenuhi peminat-peminat setia Siti Nurhaliza, malahan turut hadir tetamu istimewa Siti iaitu D.Y.A.M Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir dan permaisuri Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Menteri Pertahanan Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri juga Ketua Menteri Besar Melaka, Datuk Ir Idris Haron dan isteri.

Selain para selebriti popular tanah air yang turut kelihatan seperti Ziana Zain, Erra Fazira, Shila Amzah, Sharifah Sakinah, Faradhiya, Ezlyn dan Izara Aishah.

Berlangsung selama dua hari (semalam dan hari ini) menerusi konsert ini pihak yayasan Nurjiwa mensasarkan untuk mengumpul sebanyak RM1 juta supaya bantuan lebih banyak dapat diberikan kepada yang memerlukan sekali gus menjadikan yayasan sentiasa aktif dan prihatin.

Malaysian Digest


EmoticonEmoticon