21 Februari, 2014

Penganalisis: BN tak perlu tanding PRK Kajang

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, jika tidak mahu dilihat 'menari mengikut paluan gendang PKR'.

Beberapa ahli politik dan penganalisis politik berpendapat BN perlu membuat kajian mendalam agar tidak terperangkap dalam permainan politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah terdapat desakan supaya Presiden BN Datuk Seri Najib Tun Razak memegang ketetapan pucuk pimpinan BN yang tidak bertanding pada PRK DUN Penanti, Pulau Pinang pada tahun 2009 kerana kekosongan kerusi itu bukan disebabkan oleh peruntukan perlembagaan.

PRK DUN Penanti pada tahun 2009 diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR dengan alasan melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan rasuah.

Timbalan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat BN perlu lebih fokus kepada usaha meringankan beban rakyat dan menyusun struktur ekonomi negara daripada melayan kerenah politik pembangkang.

"Pada pandangan saya secara peribadi, biarlah Pakatan Rakyat terus bermain dengan politik mereka sementara BN terus berkhidmat pada negara dan membela nasib rakyat," katanya dalam laman blog beliau hari ini.

Salleh berkata BN perlu menimbang untuk tidak meletakkan calon di Kajang kerana PRK itu pada realitinya diadakan untuk memenuhi politik nafsu Anwar.

"Oleh kerana Kajang dikatakan kawasan (kerusi tradisi) MCA, kita berpandangan MCA perlu fokus kepada usaha memperkukuh parti di bawah kepimpinan baharu dan memberi tumpuan persediaan menghadapi PRU akan datang," katanya.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.

PKR menamakan Anwar sebagai calon parti itu, sementara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, turut menyatakan hasrat bertanding di PRK itu sebagai calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai hari mengundi dan penamaan calon pada 11 Mac.

Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie pula berkata PRK Kajang merupakan satu pembaziran yang hanya diwujudkan secara paksa demi menyelesaikan krisis dalam PKR.

Beliau menyifatkan PRK yang 'dicipta' pembangkang dengan memaksa seorang wakil rakyat meletak jawatan tanpa sebarang alasan munasabah demi kepentingan rakyat sebagai menghina demokrasi negara.

"Maklum balas yang saya terima daripada akar umbi, kalau kita bertanding, kita akan mengikut rentak mereka. Ia merugikan negara sedangkan wang itu boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan bantuan kepada orang miskin," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, MCA yang baru sahaja selesai menjalani pemilihan parti perlu diberi lebih peluang dan usaha untuk fokus kepada transformasi parti dan seterusnya menambah baik penyampaian kepada rakyat.

Dalam pada itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata lebih baik PRK DUN itu diboikot semua pihak jika peletakan jawatan penyandangnya tanpa alasan kukuh tidak disiasat dan diambil tindakan perundangan.

"Bukan niat kita hendnak memboikot demokrasi tetapi perlu ada penghormatan kepada undang-undang.

"Ini bukan soal takut, atau soal siapa hero atau tidak. Kalau nak jadi hero lebih baik masuk gusti, ini lebih kepada strategi politik, kalau tak ada keperluan dan kepentingan maka lebih baik sahaja elak pertandingan," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian pula berkata BN sebelum ini pernah tidak bertanding di Penanti berikutan senario yang agak sama yang berlaku di Kajang ketika ini.

"Presiden dah pernah buat ketetapan di Penanti, pada ketika itu beliau berkata BN tidak akan bertanding kerusi itu yang sengaja dikosongkan dan bukannya disebabkan faktor-faktor seperti dalam peruntukan perlembagaan,"
katanya.

Sivamurugan berpendapat BN seeloknya terus berpegang kepada ketetapan itu yang secara tidak langsung dapat mempamerkan kematangan yang lebih berkualiti.

Sementara itu, Persatuan Alumni UiTM dalam satu kenyataan menyifatkan PRK DUN Kajang suatu yang tidak perlu dan dipaksakan ke atas pengundi kawasan itu yang baru sahaja mengundi tidak sampai setahun lepas.

"Ia menodai prinsip dan amalan demokrasi. Oleh demikian, BN tidak perlu mengambil bahagian dalam PRK tersebut," menurut kenyataan itu. - Bernama


EmoticonEmoticon