05 Februari, 2014

SGMM sedia bawa guru 'memberontak' depan KPM hujung bulan ini

Kumpulan pendesak guru merancang untuk mengadakan bantahan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hujung bulan ini bagi mendesak Putrajaya menghentikan program penilaian tiga tahun pelajar.

Bantahan yang jarang diadakan dari bidang perguruan itu menunjukkan rasa tidak puas hati warga pendidik yang semakin tinggi terhadap sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA), kata jurucakap Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

Himpunan ini dirancang juga biar pun berulang kali jaminan diberikan Putrajaya bahawa SBA satu keperluan kepada pembaharuan sistem pendidikan kebangsaan dan penambahbaikan kepada sistem akan diselesaikan April ini.

Ketua kumpulan kerja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata bantahan #himpunan222kpmputrajaya akan diadakan pada 22 Februari di hadapan KPM Putrajaya.

"Kami mengadakannya pada Sabtu bagi memberi lebih banyak guru peluang menyertainya dan tidak lupa menjalankan tanggungjawab ini," katanya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Pahang.

"Kami mensasarkan kira-kira 200 orang guru meskipun kami menjangkakan hanya 50 yang hadir," katanya kepada The Malaysian Insider dan menambah bantahan guru menunjukkan simbol kekuatan.

Sebagai penjawat awam, guru jarang ke jalanan bagi menunjukkan tanda bantahan kerana bimbang diambil tindakan.

Mohd Nor Izzat berkata, permintaan lain kumpulannya adalah meminta kementerian membuka semula fail terhadap guru yang diambil tindakan tidak adil atas pelbagai alasan.

SBA mula dilaksanakan pada 2011 bermula dengan murid di tingkatan satu. Sebahagian daripada usaha kerajaan melahirkan murid cemerlang pelbagai segi berbanding berorientasikan peperiksaan.

Tiada peperiksaan akhir tahun di bawah SBA. Setiap hari guru menilai pelajar berdasarkan enam tahap bermula dari aras pemahaman sehingga tahap tauladan.

Data direkodkan ke dalam sistem komputer berpusat.

Meskipun SGMM mengakui SBA merupakan sistem ideal digunakan seluruh dunia, namun ia sukar dipraktikkan di Malaysia. Masalah seperti nisbah pelajar dan guru tidak seimbang dan sistem penilaian pelajar yang masih belum jelas.

SGMM mendakwa kelemahan sistem SBA memaksa banyak sekolah kembali menggunakan sistem peperiksaan bagi menilai prestasi pelajar.

Walaupun guru dan pentadbiran sekolah bersetuju melaksanakan SBA namun ia dilakukan semata-mata mengambil hati kerajaan.

Dilaporkan guru turut kecewa dengan komputer yang tidak cukup bagi memasukkan data SBA sehingga mengakibatkan masalah sistem.

Disebabkan masalah ini, guru bangun seawall jam 3 pagi sewaktu trafik internet lancar bagi memasukkan data SBA ke dalam sistem pelayan kementerian.

Mohd Nor Izzat mendakwa sebilangan guru yang menghadiri taklimat kementerian baru-baru ini berkata data PBS yang lepas tidak akan digunakan untuk menilai prestasi pelajar tingkatan tiga tahun ini.

Katanya, perkara ini berlaku ekoran arahan kementerian yang berbeza kepada guru untuk memasukkan markah pelajar tingkatan satu bermula 2012.

TMI


EmoticonEmoticon