26 Februari, 2014

Tak gamak bayar RM2 juta, Hadi fail ketepi perintah ingkar

Kuala Terengganu: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang akan memfailkan permohonan mengetepikan perintah penghakiman ingkar di Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Permohonan itu akan difailkan peguam PAS, Asmuni Awi, bagi mengetepikan perintah yang dikeluarkan mahkamah Ahad lalu berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Selesai dokumentasi

Asmuni berkata, pihaknya sudah selesai proses dokumentasi yang diperlukan dan yakin perintah penghakiman ingkar itu boleh diketepikan berdasarkan etika pengurusan kes berkenaan.

“Saya tidak boleh ulas lanjut tetapi yakin boleh selesaikan,” katanya ketika dihubungi.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas Hadi gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Mohd Shamsul (plaintif) pada 5 Disember tahun lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mohamad Nasrudin Mohamed, merekodkan penghakiman itu selepas membenarkan permohonan Mohd Shamsul melalui peguamnya, A Vasudevan.

Hadi gagal hadir sepanjang tiga kali kes itu disebut di mahkamah dan tidak mengemukakan memorandum ketidakhadiran atau pembelaan terhadap tuntutan itu.

Mohd Shamsul memfailkan saman itu bagi membersihkan namanya, susulan ceramah Hadi (defendan) di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), tahun lalu.


EmoticonEmoticon