09 Februari, 2014

Tiga nama disebut-sebut ganti Taib Mahmud

KUALA LUMPUR: Tiga nama diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai pengganti beliau dalam mesyuarat tertutup Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), lapor akhbar The Star.

Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Naib Presiden Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ketua Penerangan Tan Sri Adenan Satem merupakan tiga nama yang diumumkan dalam mesyuarat tersebut.

Laporan tersebut menyatakan, sumber dalaman PBB mengesahkan tiga nama tersebut diumumkan oleh Taib, dimana salah seorang dari mereka akan menjadi pengganti beliau.

Dalam sidang media oleh Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar selepas mesyuarat tersebut berlangsung, nama pengganti Taib tidak dapat disahkan.

Asfia dilaporkan hanya berkata, "Boleh jadi" ketika ditanya mengenai tiga nama tersebut, sementara di luar bilik sidang media, Awang Tengah memberitahu wartawan beliau akan memberi sokongan kepada siapa sahaja yang Taib pilih.

Johari yang mengiringi Taib ke lobi pula meminta wartawan bertanya kepada Asfia mengenai perkara tersebut manakala Adenan pula dilaporkan meninggalkan ibu pejabat PBB tanpa memberikan sebarang komen.

Taib dijangka akan mengumumkan penggunduran beliau pada Isnin dan mesyuarat MKT PBB telah memberi mandat sepenuhnya kepada beliau untuk menamakan penggantinya

Astro Awani


EmoticonEmoticon