09 Februari, 2014

Video Teresa: Khairy bidas polis, Peguam Negara lembab

Kuala Lumpur: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempersoalkan kelewatan polis dan Peguam Negara bertindak berhubung klip video dihasilkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang didakwa berbaur fitnah dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Katanya, sudah banyak laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak dan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara itu, tetapi sehingga kini tidak nampak sebarang tindakan diambil.

Minta penjelasan polis “Saya tak faham kenapa masa yang lama diambil dan saya minta polis jelaskan kenapa tindakan tidak boleh diambil. Kalau tiada kes, tolong jelaskan. Jika tidak, sampai kiamat pun tiada tindakan diambil,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Kepemimpinan dan Aspirasi Nasional di PWTC, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), berkata jika tindakan tidak diambil, perkara berkenaan akan menjadi polemik dalam media dan andai dibiarkan berterusan, ia hanya merugikan masa.

“Ambil tindakan, jika tak boleh ambil tindakan beritahu kenapa. Jangan cakap Pemuda (UMNO dan BN) serta NGO tak buat apa-apa sedangkan kita sudah banyak buat laporan polis. Tindakan Teresa memang salah dan ia satu parodi yang tak menjadi,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut tidak bersetuju dengan sikap agresif dan ugutan sesetengah pihak terhadap Naib Pengerusi DAP berkenaan.

“Kedua-dua perkara itu salah, video (Teresa) itu salah, begitu juga protes keterlaluan... semua tidak boleh diterima,” katanya.

Sementara itu di Kajang, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengumpul semua laporan polis dan memulakan siasatan berhubung isu klip video berbaur sindiran yang dikaitkan dengan Teresa.

“Sebanyak 300 laporan polis diterima berhubung perkara itu daripada badan bukan kerajaan (NGO), individu dan pertubuhan lain. Siasatan telah dimulakan dan SKMM juga beri kerjasama bukan sahaja untuk muat turun (video), malah beberapa maklumat lain telah kita peroleh,” katanya selepas merasmikan Seminar Penjara Sejahtera, semalam.

Teresa menerbitkan video berdurasi 11.39 minit sempena Tahun Baharu Cina, baru-baru ini, dan disiarkan di laman Youtube. Kandungan klip video itu antara lain membabitkan sindiran terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta kerajaan.

Video berkenaan turut memaparkan seorang tetamu yang mempersendakan masyarakat Lahad Datu, khususnya dalam menarik pelancong ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Berita Harian


EmoticonEmoticon