12 April, 2014

GST dapat kurangkan pergantungan hasil minyak

Kerajaan sedang mengkaji untuk mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak ke paras kurang daripada 30 peratus dengan melebarkan asas cukai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak boleh dicapai dengan menambah baik kutipan bentuk hasil cukai yang lain dan dengan melebarkan asas cukai melalui cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, Abdul Wahid enggan menyatakan jangka waktu untuk mencapai sasaran itu.

"Kita telah mula mempelbagaikan sumber hasil dan mengukuhkan kutipan hasil. Pendapatan kerajaan meningkat 12.1 peratus kepada RM207.9 bilion pada 2012 daripada RM185.4 bilion pada 2011.

"Pada 2013, hasil meningkat selanjutnya kepada RM220.4 bilion, sedangkan sumbangan daripada hasil minyak berkurangan kepada 31.2 peratus berbanding dengan 33.7 peratus pada 2012 dan 35.8 peratus pada 2011," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Keusahawanan Cekal 2014 di Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai sumber minyak dan gas, Abdul Wahid berkata kerajaan telah menguruskannya dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan untuk memastikan nisbah penggantian sumber (ORR) keseluruhan dikekalkan pada kadar lebih daripada satu. Kadar semasa Malaysia ialah 1.94 kali pada Januari 2014.

Beliau berkata nisbah semasa ini memastikan rizab sumber Malaysia akan mencukupi bagi tempoh yang panjang pada masa akan datang.

Berdasarkan tahap pengeluaran harian sebanyak 576,000 tong minyak dan kondensat, rizab minyak kita sebanyak 5.79 bilion tong bersamaan minyak (BBOE) mencukupi bagi 28 tahun akan datang manakala rizab gas semasa sebanyak 16.8 BBOE mencukupi bagi 42 tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata kerajaan juga berusaha untuk meningkatkan agihan keluaran dalam negara kasar pekerja kepada 40 peratus, dengan didorong oleh Program Transformasi Ekonomi dan agar setanding dengan ekonomi maju, daripada 32.9 peratus sekarang, yang ketara lebih tinggi berbanding 29 peratus pada 2008.

- Bernama


EmoticonEmoticon