05 April, 2014

Institut Sukan Negara gempar, k'tangan ugut bakar diri

Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) gempar, semalam selepas seorang kakitangannya mengugut untuk membakar diri di dalam sebuah ambulans kerana dilaporkan kecewa tidak terpilih untuk menghadiri sesi temu duga jabatan.

Bagaimanapun, usaha pemandu berusia 43 tahun itu gagal selepas dia berjaya dipujuk oleh isterinya sebelum diselamatkan oleh anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, pemandu berkenaan bertindak mengurungkan diri di dalam ambulans bersama satu tong minyak petrol dalam usaha untuk membakar diri.

Rawatan perubatan

“Siasatan awal polis mendapati lelaki itu bertindak demikian kerana kecewa tidak terpilih untuk menghadiri temu duga di jabatannya. Lelaki itu kemudian dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh diri. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Datuk Dr Ramlan Aziz bagaimanapun gagal dihubungi.


EmoticonEmoticon