05 April, 2014

Rahsia rogol terbongkar, remaja 15 tahun di Jeli lahir anak

Jeli: Seorang remaja berusia 15 tahun yang cuba merahsiakan dirinya diperkosa teman lelaki daripada pengetahuan keluarga akhirnya terpaksa mengakui perkara itu apabila dia selamat melahirkan seorang bayi perempuan di rumah keluarganya di Kampung Nibong, Tanah Merah, dekat sini, Selasa lalu.

Remaja itu yang tidak bersekolah dan bekerja sebagai pelayan sebuah kedai makan di Bukit Bunga, dekat sini, mendakwa diperkosa teman lelaki yang masih menuntut di sebuah sekolah menengah kebangsaan berdekatan Tanah Merah sekitar September, tahun lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, remaja berkenaan mengadu sakit perut mahu bersalin dan dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk melahirkan bayinya sebelum dirujuk ke Hospital Tanah Merah (HTM), dekat sini, untuk rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, tiga jam sebelum melahirkan bayinya, remaja terbabit sempat membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli berhubung insiden dia diperkosa.

Beliau berkata, mangsa dipercayai berjaya mengaburi mata keluarganya berikutan memiliki tubuh badan yang kecil dan tidak mengalami sebarang alahan meskipun menyedari dirinya hamil ketika kandungannya berusia enam bulan.

“Mangsa juga mendakwa pada hari kejadian dia dirogol, dia terlebih dulu diambil suspek untuk ke tempat kerja di Bukit Bunga sebelum suspek yang membawa motosikal Honda EX5 melencong ke kawasan semak di Kampung Ayer Lanas, dekat sini, dan merogolnya kira-kira jam 8.30 malam.

“Mangsa kemudiannya ditinggalkan di kawasan semak itu tanpa belas kasihan dan pulang ke rumahnya secara sendirian dua jam kemudian tanpa memberitahu sesiapapun termasuk ibu bapanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Sheik Azhar berkata, ketika ini mangsa masih dirawat di HTM untuk rawatan lanjut termasuk diberi kaunseling bagi menghilangkan trauma.

Katanya, polis sudah menahan suspek di rumahnya di Kampung Ayer Chanal, Tanah Merah, dekat sini, dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.


EmoticonEmoticon