08 April, 2014

Respon DBKL berkenaan parti bogel di KL Jumaat ini


BERHUBUNG dengan penganjuran parti liar ‘Topless Friday Beach Party’ yang bakal diadakan di kelab malam, The Pool, Kuala Lumpur pada Jumaat ini, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa premis berkenaan tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk menjalankan aktiviti itu.

Ia dimaklumkan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh DBKL yang turut menyebut, jika pihak penganjur membuat permohonan sekalipun, ia tetap tidak akan diluluskan.

Ini berikutan aktiviti tersebut tidak selaras dengan garis panduan pelesenan.

Pihak DBKL turut memaklumkan bahawa iklan bersempena aktiviti tersebut juga dipamerkan tanpa kelulusan lesen daripada mereka.

Justeru, pihak penganjur diarahkan untuk memberi surat bertulis dalam tempoh tujuh hari bagi mengemukakan sebab kelulusan lesen premis dan lesen hiburan mereka tidak boleh dibatalkan ekoran kesalahan tersebut.

Pada masa yang sama, premis tersebut akan diarahkan untuk ditutup selama tujuh hari mulai malam ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan DBKL.

Sebelum ini, parti liar yang menggalakan pengunjungnya memakai bikini dan seluar pendek itu mendapat kecaman ramai terutamanya menerusi laman sosial.

Poster iklannya turut menyertakan satu klausa yang berbunyi, “lebih sedikit pakaian lebih bagus” selain pertandingan tarian lucah dengan habuan minuman keras buat para pemenang.


EmoticonEmoticon