23 Mei, 2014

Tentera Thailand rampas kuasa

BANGKOK 22 Mei - Kemelut politik Thailand yang berlarutan sejak enam bulan lalu akhirnya melibatkan campur tangan pihak tentera apabila Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengumumkan rampasan kuasa bagi memulihkan kestabilan di negara ini, hari ini.

Prayuth mengumumkan tindakan tersebut menerusi siaran televisyen tempatan dan pihak tentera kini mengambil alih pentadbiran negara sepenuhnya.

Tindakan itu disusuli penggantungan Perlembagaan beberapa jam kemudian.

Seiring itu juga, pihak tentera mengarahkan semua stesen radio dan televisyen menangguhkan penyiaran rancangan biasa bagi memberi laluan kepada saluran penyiar tentera supaya maklumat yang tepat dapat disalurkan kepada rakyat.

Jelasnya, pihak tentera mengambil alih tugas kerajaan termasuk hubungan luar negara selain melakukan pembaharuan politik.

"Bagi memulihkan keamanan dan kestabilan negara ini dengan cepat, Jawatankuasa Penjaga Keamanan Kebangsaan bekerjasama dengan tentera darat, laut dan udara serta polis mengambil alih pemerintahan negara bermula pukul 4.30 petang, hari ini.

"Tindakan ini perlu dilaksanakan bagi menjaga rakyat dan orang ramai diminta meneruskan kehidupan seharian seperti biasa," kata Prayuth yang ditemani Ketua Polis Negara, Adul Saengsingkaew, dan beberapa pegawai kanan tentera lain.

Selain itu, pihak tentera melaksanakan perintah berkurung bermula pukul 10 malam sehingga 5 pagi di seluruh negara bermula hari ini.

Pengumuman itu dibuat hanya dua hari selepas pihak tentera menguatkuasakan undang-undang tentera di seluruh negara bagi membuka laluan kepada pihak yang terlibat bertemu di meja rundingan untuk menamatkan konflik.

Bagaimanapun menurut laporan portal The Nation, rampasan kuasa yang disebut-sebut selama ini menjadi kenyataan selepas kegagalan pemimpin parti politik yang bertelagah untuk mencari jalan penyelesaian melalui perbincangan selama dua hari anjuran pihak tentera.

Jelas laporan berkenaan, Prayuth mengarahkan pertemuan itu dihentikan dan semua wakil politik dibawa ke Rejimen Infantri Pertama yang terletak di Kelab Tentera selepas perbincangan itu gagal menemukan jalan penyelesaian pada pukul 4.10 petang.

Antara yang hadir dalam perbincangan itu termasuk wakil pergerakan Baju Merah, kerajaan, Parti Pheu Thai, Parti Demokrat, Suruhanjaya Reformasi Demokratik Rakyat, Dewan Senat dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Terdahulu, sumber saksi berkata, askar Thailand membawa keluar ketua penunjuk perasaan antikerajaan, Suthep Thaugsuban ke lokasi yang tidak diketahui semasa perbincangan berlangsung. - AGENSI


EmoticonEmoticon