04 Jun, 2014

DNA Babi: Tanggung dosa kalau sembunyi maklumat - Jamil

Putrajaya: “Kami tidak berhasrat melindungi apa-apa sebab yang haram tetap haram dan kita bertanggungjawab sampai akhirat, malah menanggung dosa terlalu besar kalau menyembunyikan maklumat sebenar,” tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Malah, beliau berkata, JAKIM juga tidak melindungi mana-mana pihak (yang terbabit dalam isu ini) kerana ia tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada jabatan itu dan kerajaan.

“Kita bertanggungjawab melindungi dan menjaga kemaslahatan umat Islam, satu perkara yang saya ingin pesan, apabila sebut mengenai soal halal...bukan sewenang-wenangnya mana-mana pihak boleh memberikan kenyataan dan sebagainya.

“Oleh kerana bahagian halal dijaga JAKIM, jadi JAKIM pihak pemutusnya yang menentukan halal atau tidak sesuatu produk selepas mendapatkan pengesahan daripada makmal Jabatan Kimia yang diberi akreditasi untuk membuat kajian serta analisis,” katanya pada sidang media di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, dekat sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Roslan Mahayudin.

Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan mengesan dua coklat Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel dan coklat susu dengan buah badam mengandungi DNA babi (porcine).

DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang hazel bernombor kelompok 200813 M01HI2, tarikh luput 13 November 2014 dan coklat susu dengan buah badam bernombor kelompok 221013 N01RI1, tarikh luput 15 Januari 2015.

Jamil Khir turut menegaskan JAKIM tidak akan sesekali menyembunyikan maklumat jika sudah menarik balik sijil halal sesuatu produk.

“Konsep mengeluarkan sijil (halal) bukan merangkumi kehalalan produk itu saja, tetapi termasuk kebersihan dari ladang hingga ke meja makan.

“Namun, jika ada unsur bahan campuran lain contohnya pengawet dimasukkan ke dalam sesuatu produk itu melebihi tahap dibenarkan Kementerian Kesihatan, sijil halal produk berkenaan juga akan ditarik balik,” katanya.


EmoticonEmoticon