28 Jun, 2014

Dollah Salleh pengendali baru skuad Harimau Malaya

KETUA jurulatih Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh dilantik sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya untuk tempoh dua tahun.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah berkata pelantikan jurulatih berusia 50 tahun itu mendapat persetujuan sebulat suara anggota exco FAM berbanding dua lagi calon asing, berdasarkan rekod cemerlangnya membantu beberapa pasukan tempatan meraih pelbagai kejuaraan.

"Jawatankuasa FAM bersetuju memberi peluang kepada jurulatih tempatan lebih-lebih lagi skuad negara akan menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014
di Singapura dan Vietnam pada November ini.

"Kita akan minta Dollah mengemukakan barisan kejurulatihan bagi memudahkannya mengendalikan skuad kebangsaan," kata Afandi kepada pemberitaselepas mesyuarat pertama exco FAM sesi 2014-2018 yang dipengerusikan presiden baharu FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kelana Jaya hari ini.

Sebelum ini, FAM turut menyenaraikan dua jurulatih asing kelahiran Jerman, Gert Engels dan Wolfgang Sidka sebagai antara tiga calon akhir bagi jawatan itu yang kosong sejak 31 Disember lepas susulan kontrak Datuk K. Rajagobal tidak diperbaharui.

Ditanya mengenai kontrak Dollah dengan PDRM yang hanya tamat November ini, Afandi berkata pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan juara Liga Perdana 2014 itu.

"Kita berharap dapat menyelesaikan baki kontrak antara PDRM dengan Dollah dalam masa terdekat. Dollah sudah dimaklumkan mengenai pelantikan beliau," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya sudah mengatur empat aksi 'pemanas badan' untuk skuad Harimau Malaya sebelum menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014.

Perlawanan itu ialah menentang Tajikistan pada 6 Ogos; Singapura (6 September); Jordan (11 Oktober) dan satu lagi negara yang belum ditentukan pada 18 November.

Antara kejayaan yang pernah diraih Dollah ialah membawa pasukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) selaku pasukan kelab pertama muncul juara Piala Malaysia pada 2003 selain membawa Selangor meraih kejuaraan trebel - Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana pada 2005. - Bernama


EmoticonEmoticon