24 Jun, 2014

Dyana 'serang' UiTM lagi

PETALING JAYA - Konsesi penswastaan 10 kampus baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dibongkarkan PKR baru-baru ini turut mendapat perhatian calon DAP PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.

Dyana Sofya yang juga Alumni UiTM itu mendakwa amalan kronisme dan sekatan ke atas kebebasan akademik tidak akan membantu memajukan warga universiti itu, sebaliknya bakal menghancurkan masa hadapan pusat pendidikan itu dan kepentingan Bumiputera.

"Sistem tender terbuka yang telus wajib diperkenalkan terutamanya melibatkan projek kerajaan dan perbelanjaan dana awam.

"Selaku alumni, kami tidak sanggup melihat UiTM tergadai kepada syarikat-syarikat konsesi hanya kerana kerakusan pemimpin Umno yang hanya ingin mengaut keuntungan di atas keringat rakyat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Nama Dyana sebelum ini turut dikaitkan dengan UiTM ketika berkempen di PRK Teluk Intan.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Pandan-PKR, Rafizi Ramli membuat beberapa pendedahan di Parlimen mengenai konsesi UiTM itu yang didakwa dikuasai oleh kenalan dan bekas pemimpin Umno yang dianugerahkan secara rundingan terus.

Berikutan pendedahan itu, pihak UiTM pada Jumaat lalu dalam satu kenyataan membidas dakwaan Pengarah Strategi PKR itu sambil menyifatkan keputusan kerajaan untuk meningkatkan enrolmen mahasiswa universiti itu.

UiTM juga turut mempertahankan kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan mengemukakan empat manfaat.

Antaranya pembayaran kepada syarikat konsesi hanya bermula setelah projek siap sepenuhnya dan diserahkan kepada kerajaan, risiko pembinaan ditanggung pemegang konsesi, UiTM tidak perlu menanggung penyelenggaraan dan penggantian komponen utama selama 20 tahun dan keuntungan dikongsi bersama dengan kerajaan.

Sementara itu, Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin mendakwa sekiranya perkara berkenaan gagal diselesaikan, bermakna Umno tidak lagi mewakili kepentingan Bumiputera tetapi mengutamakan kroni dan keluarga semata-mata.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengkaji semula konsesi berat sebelah dan memperbetulkan semula demi kepentingan UiTM sebagai sebuah universiti.

"Satu projek yang jika ditanggung UiTM terikat dengan sewa sekitar RM56 hingga RM69 juta selama 23 tahun.Secara tidak langsung kosnya adalah sekitar empat kali ganda lebih besar dan dikhuatiri membebankan UiTM," katanya lagi.

1 comments so far

Seorang melayu dipergunakan oleh bangsa cina. ini yang dinamakan anjing DAP. kalau pembangkang boleh tuduh polis anjing kerajaan mengapa tidak si bahlul ini dinamakan anjing DAP. tak sedar diri. kita berbangsa melayu.


EmoticonEmoticon