30 Jun, 2014

Kit Halal kesan DNA babi hanya berharga RM29

SELAIN kit halal yang sedang dibangunkan oleh Unisel, ramai yang tidak sedar bahawa alat yang seumpama itu sudah lama berada dalam pasaran. Malah harganya juga semurah RM29 sahaja.

Jika kit yang akan dikeluarkan Unisel berupaya mengesan unsur babi dalam tempoh seminit, kit pengesan babi edaran Iftitah Solutions (M) Sdn Bhd (Iftitah Solutions) ini pula mengambil masa yang sedikit lama - 15 minit.

Jika ujian DNA di makmal sangat rumit dengan alat khusus serta mengambil masa lama, kit yang mengesan unsur protein ini bagaimanapun tidak memerlukan pengetahuan khusus untuk sesiapa juga melakukan ujian.

Menurut Pengarah Urusan Iftitah Solutions, Abdul Syukor Othman, syarikatnya mula memasarkan produk keluaran Rusia ini bagi pasaran tempatan dua tahun lalu.

Produk yang didatangkan dalam bentuk jalur (strips) itu menggunakan konsep immunokromatografik iaitu diuji berasaskan protein, antigen dan antibodi.

“Dalam kit ini sudah ada antibodi dan apabila bergabung dengan antigen dalam makanan, akan menghasilkan jalur warna. Satu jalur bermakna keputusan negatif dan dua jalur menandakan hasil positif,” katanya.

Mesra wanita

Bagi wanita yang biasanya ke pasar membeli bahan makanan, mereka diyakini tidak akan berasa sukar untuk menggunakan alat ini kerana cara penggunaannya hampir sama dengan kit kehamilan.

“Letakkan sedikit sampel makanan ke dalam tiub yang disediakan. Campurkan sedikit air, goncang dan uji dengan jalur untuk lima saat.

“Kemudian, letakkan jalur di tempat rata. Garisan pertama biasanya akan muncul serta-merta, manakala garisan kedua muncul dalam 10 hingga 15 minit,” katanya.

Selain diuji untuk produk makanan, syarikat ini turut mengedarkan kit yang dapat menguji kehadiran lemak dan darah babi dalam kosmetik menggunakan kaedah sama.
Harga pasaran kedua-dua produk ini untuk pek single yang memiliki dua jalur ialah RM29.

Jimat kos

Meskipun hanya dijual dalam talian, Abdul Syukor berkata, kit tersebut mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna yang sememangnya mencari alat sedemikian.

“Kebanyakan pelanggan kita adalah suri rumah, pengeluar dan pengusaha kecil yang mahu tahu kandungan produk mereka. Biasanya mereka guna untuk makanan diproses yang ada kemungkinan dicampurkan dengan unsur porsin.

“Selain makanan, kit ini juga boleh kesan unsur babi pada peralatan memasak. Saiznya yang kecil juga memudahkan pengguna yang sukar mendapatkan makanan halal ketika ke luar negara,” katanya.

Masih ragu?


Bagaimanapun, mungkin ada yang skeptikal dengan keputusan ujian kit ini yang dikatakan pasti tidak setanding dengan ujian makmal yang dapat mengesan DNA.

Abdul Syukor ada jawapannya iaitu protein babi yang dicampurkan dalam makanan masih dapat dikesan meskipun sudah terurai dan bertukar bentuk.

“Lagipun, kita sudah melakukan ujian ketepatan kit ini sebelum memasarkannya. Boleh dikatakan, 99 peratus keputusan adalah tepat dan boleh diyakini,” katanya.

Namun, beliau tetap menegaskan bahawa kit ini hanya boleh dijadikan sebagai saringan awal bagi menentukan kehadiran unsur babi.

Nasihatnya, pengguna tetap perlu merujuk kepada ujian makmal untuk keputusan yang lebih lanjut.

“Bagaimanapun, saringan awal daripada kit ini dapat menjimatkan kos. Misalnya, pengeluar produk kecil yang mahu uji 10 sampel produknya, boleh guna kit ini.

“Hasil ujian kit, mungkin hanya satu sampel positif dan perlu dihantar ke makmal. Jadi, ia lebih menjimatkan kos kerana tidak perlu hantar 10 sampel ke makmal,” katanya.

Tetap yakini Jakim

Abdul Syukor berkata, kebanyakan pelanggan yang membeli produk ini lebih kepada kepuasan individu bagi memastikan makanan yang dibeli bebas daripada unsur babi.

Namun, sebagai pengedar, beliau sering menekankan kepada pelanggan agar tetap meletakkan keyakinan pada logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kami tidak pernah persoalkan tujuan pelanggan beli kit ini. Mungkin bagi sesetengah pengguna, mereka membeli kit ini kerana mahukan kepastian dan kepuasan.

“Bagaimanapun, tujuan kita jual produk ini juga sebenarnya bagi timbulkan kesedaran orang ramai. Jika mereka mendapati ada unsur babi dalam produk kegunaan mereka hasil ujian kit ini, laporkan pada Jakim,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Syukor turut berharap produk ini dapat digunakan oleh Jakim bagi membantu operasi pemantauan mereka.

“Jika kit ini digunakan sebagai saringan awal dalam operasi Jakim, dapat mengelakkan timbunan sampel yang perlu dibawa ke makmal.

“Kami sudah mengemukakan cadangan ini kepada Jakim dan masih menunggu maklum balas mereka,” katanya.

Info Kit halal unisel

- Kos RM1.3 juta diperuntukkan kerajaan Selangor kepada Unisel untuk kaji dan keluarkan kit halal.
- Tempoh projek 18 bulan bermula Julai 2014 hingga Disember 2015.
-Terbahagi kepada dua komponen iaitu elektronik (gajet) dan sensor (solution).
- Menggunakan teknologi pengesan nano yang boleh kesan kandungan zat babi sekecil 0.001 peratus.
- Dapat keluar keputusan dalam tempoh seminit.
- Boleh digunakan untuk produk makanan, ubatubatan dan kosmetik


EmoticonEmoticon