21 Jun, 2014

Piala Dunia: Costa Rica kejutkan Itali, England sah tersingkir

KUALA LUMPUR: Costa Rica meneruskan kejutan di Piala Dunia 2014 dengan menewaskan Itali 1-0 pada perlawanan Kumpulan D di Arena Pernambuco, Brazil, sebentar tadi.

Gol kemenangan Costa Rica dijaringkan ketua pasukan, Bryan Ruiz pada minit ke-44. Teknologi garisan gol digunakan bagi mengesahkan jaringan apabila tandukan Ruiz terkena bawah palang dan melantun.
Kemenangan itu membolehkan Costa Rica yang mengejutkan Uruguay pada perlawanan pertama, menduduki tempat teratas kumpulan dengan enam mata daripada dua perlawanan dan layak ke pusingan kalah mati.

Kekalahan Itali juga bermakna England yang tewas dua perlawanan dan tanpa sebarang mata, tersingkir daripada saingan Piala Dunia kali ini.

Itali dan Uruguay yang masing-masing memiliki tiga mata daripada dua perlawanan akan menentukan pasukan yang akan mengiringi Costa Rica pada peringkat seterusnya.


EmoticonEmoticon