30 Jun, 2014

Piala Dunia: Costa Rica mara suku akhir atasi Greece

Costa Rica 1
(Costa Rica layak menerusi sepakan penalti 5-3)
Greece 1

RECIFE: Costa Rica yang terpaksa beraksi sejam dengan 10 pemain meneruskan kejutan di Piala Dunia apabila mara ke peringkat suku akhir selepas menyingkirkan Greece menerusi penentuan penalti 5-3 pada aksi pusingan kedua di Arena Pernambuco, sebentar tadi.

Penentuan penalti terpaksa dilakukan selepas perlawanan berakhir 1-1 selepas tamat masa tambahan dengan penjaga gol, Keylor Navas boleh diangkat sebagai wira selepas menyelamatkan penalti keempat pemain Greece, Theofanis Gekas.
Dan jaringan terakhir Costa Rica menerusi Michael Umana membawa wakil Amerika Utara itu pertembungan getir bertemu Belanda di suku akhir.

Menjuarai Kumpulan D dengan menyingkirkan dua jaguh Itali dan England, Costa Rica begitupun tidak menampilkan aksi yang diharapkan pada babak pertama yang berakhir tanpa jaringan dengan Greece lebih banyak bertahan.

Begitupun, gawang Greece akhirnya bocor pada minit ke-52 hasil jaringan kapten, Bryan Ruiz yang mudah melepaskan rembatan padu yang gagal dibaca Orestis Karnezis sebelum malang menimpa.

Pada minit ke-66, Costa Rica terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan, Oscar Duarte diarah keluar padang selepas memperoleh kad kuning kedua.

Ketika perlawanan hampir memihak Costa Rica, Greece yang melangkah ke pusingan kedua menerusi kemenangan sukar ke atas Ivory Coast sekali lagi menjaringkan gol di masa kecederaan menerusi Sokratis Papasthathopoulos.

Greece memperoleh beberapa peluang terbaik menambah gol pada masa tambahan namun tuah dan kehebatan Navas menghalang mereka. - Agensi


EmoticonEmoticon