19 Jun, 2014

Piala Dunia: Croatia belasah Cameroon

MANAUS: Croatia menyalakan harapan untuk layak ke pusingan kedua Piala Dunia selepas membelasah Cameroon 4-0 dalam saingan Kumpulan A, awal pagi ini.

Cabaran mereka turut dibantu dengan kepincangan pihak lawan yang bermain dengan bekalan 10 pemain selepas Alex Song dilayangkan kad merah pada lewat babak pertama yang menyaksikan wakil Afrika tersingkir awal kali ini.

Ivica Olic meletakkan Croatia di hadapan pada minit ke-11 dan Ivan Perisic menyambar bola hasil kesilapan penjaga gol Cameroon, Charles Itandje untuk meluru meledakkan gol kedua pada minit ke-48.

Mario Mandzukic yang tidak dikawal menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-61 dan menambah gol keempat pada minit ke-73.

Cameroon yang hanya memenangi satu perlawanan selepas lima kali membuat kemunculan dalam Piala Dunia bertambah perit selepas terpaksa bermain dengan bekalan 10 pemain.

Alex dilayangkan kad merah gara-gara menyiku Mandzukic di belakang dan juga tanpa Samuel Eto'o yang tercedera.
Brazil dan Mexico masing-masing sudah mengutip empat mata dari Kumpulan A dan kemenangan bagi Croatia ke atas Mexico, Isnin ini boleh bantu mereka mara ke kelompok 16 terakhir pada edisi kali ini. - REUTERS


EmoticonEmoticon