25 Jun, 2014

Piala Dunia: Jepun tersingkir selepas dibelasah Colombia

PEMAIN Jepun, Shinji Okazaki, (kanan) bersaing dengan pemain Colombia, Carlos Valdes pada perlawanan Piala Dunia di Arena Pantanal, Cuiaba, Brazil, awal pagi ini. - Foto AP
JEPUN 1
Shinji Okazaki (m45)

COLOMBIA 4 Guillermo Cuadrado (m-17 pen) Jackson Martinez (m55,82)
James Rodríguez (m90)

CUIABA: Kebangkitan yang diharapkan Jepun tidak menjadi kenyataan selepas tumbang kepada Colombia 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan C, sebentar tadi - sekali gus tersingkir daripada kempen Piala Dunia di Brazil.

Mengharapkan kemenangan, Jepun berjaya bangkit pada babak pertama sekalipun ketinggalan pada minit ke-17 selepas Colombia dianugerah sepakan penalti yang disempurnakan Guillermo Cuadrado sebelum Shinji Okazaki menyamakan kedudukan.

Gol penyamaan pada masa kecederaan itu seakan-akan memberi petanda kebangkitan Jepun namun persembahan menarik dipamerkan gagal diteruskan pada babak kedua apabila sekali lagi ketinggalan menerusi jaringan Jackson Martinez pada minit ke-55.

Jurulatih Jepun, Alberto Zaccheroni kemudian melakukan beberapa penukaran pemain namun gawang Samurai Biru terus bocor menerusi jaringan peribadi kedua Martinez yang bijak melepasi perangkap ofsaid untuk meledak gol pada minit ke-82.

Dan kelemahan pertahanan Jepun terus dihukum buat kali keempat menerusi James Rodriguez yang melengkapkan jaringan Colombia yang gah menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan.

Kekalahan Jepun turut memberi jalan mudah buat Greece yang melakar kejutan dengan menewaskan Ivory Coast 2-1 pada satu lagi perlawanan Kumpulan C.

Penyingkiran Jepun mengiringi satu lagi wakil Asia, Australia yang tersingkir awal di Piala Dunia Brazil kali ini. - Agensi

1 comments so far


EmoticonEmoticon