30 Jun, 2014

Piala Dunia: Jurulatih Algeria berang dengan wartawan, kerap soal pasal Ramadhan

PORTO ALEGRE: Jurulatih Algeria, Vahid Halilhodzic naik berang terhadap wartawan yang berulang kali mengajukan soalan sama ada pemainnya akan berpuasa di bulan Ramadan, sehari sebelum perlawanan pusingan kedua menentang Jerman.

Algeria dijadualkan menentang juara dunia tiga kali itu di Porto Alegre, pada 4 pagi esok.

“Tolong berhenti daripada bertanyakan saya mengenai Ramadan atau saya akan bangun dan beredar,” kata jurulatih kelahiran Bosnia itu. “Apabila kamu bertanya soalan, kamu kurang hormat dan saya mahu kamu fokus kepada bola sepak dan bukan perkara lain.

“Ini bukan kali pertama saya melatih pasukan yang memiliki pemain Muslim, saya juga seorang Muslim. Saya sentiasa membenarkan pemain-pemain saya untuk membuat keputusan mereka sendiri.”

Pengendali berusia 61 tahun itu sebelum ini keras dikritik media dari Algeria apabila dituduh menasihatkan pemainnya supaya tidak berpuasa.

“Malangnya, saya membaca beberapa surat khabar dan salah satu daripadanya, yang berterusan merosakkan imej saya dan mempersoal maruah dan integriti saya. Mereka memupuk kebencian dan permusuhan terhadap Vahid dan rakan-rakannya dan ia menjijikkan,” katanya. - AFP


EmoticonEmoticon