16 Jun, 2014

Piala Dunia: (Kumpulan E) Perancis mudah tundukkan Honduras

REAKSI Benzema selepas membantu Perancis menewaskan Honduras 3-0 dalam aksi Kumpulan E sebentar tadi. - Foto AP
PORTO ALEGRE: Bintang Real Madrid, Karim Benzema menyumbang dua gol membantu juara 1998, Perancis menewaskan Honduras 3-0 dalam perlawanan Kumpulan E Piala Dunia sebentar tadi.

Perlawanan itu turut menyaksikan buat pertama kali teknologi garisan gol yang digunakan dalam edisi kali ini mengesahkan gol kedua untuk Perancis pada babak kedua selepas rembatan Benzema yang terdahulu terkena tiang kiri melantun depan gawang sebelum bola terkena badan penjaga gol Honduras, Noel Valladares dan bergolek masuk.

Penjaga gol itu juga menyelamatkan bola tetapi pengadil dari Brazil, Sandro Ricci menganugerahkan gol yang diklasifikasi sebagai gol sendiri pada minit ke-48 selepas melihat rakaman alat teknologi buat dari Jerman itu.

Bagi Honduras, cabaran mereka bertambah perit apabila terpaksa bermain dengan bekalan 10 pemain selepas Wilson Palacios dilayangkan kad merah oleh pengadil gara-gara mengasari Paul Pogba dari belakang di dalam kotak penalti pada minit ke-45.
Situasi itu menyaksikan Perancis diberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Benzema dan penyerang berkenaan menambah gol kedua baginya dan ketiga untuk pasukan negara dengan rembatan daripada sudut yang sukar pada minit ke-72.

PERANCIS ...3
(Karim Benzema (45' pen, 72'),
Valladares (48' gol sendiri)

HONDURAS...0


EmoticonEmoticon