20 Jun, 2014

Piala Dunia: Uruguay kecewakan England


SAO PAULO: Dua gol daripada Luis Suarez meranapkan impian Piala Dunia England apabila tewas kepada Uruguay 2-1 dalam aksi Kumpulan D di Corinthians Arena di Sao Paulo, sebentar tadi.

Bintang Liverpool yang hadir menanggung kecederaan lutut selepas pembedahan sebulan lalu menyumbat satu gol pada setiap babak permainan untuk menyalakan impian pasukannya mara ke pusingan kedua.

Wayne Rooney membuat ancaman awal apabila tandukannya terkena palang pada babak pertama, namun kealpaan benteng pertahanan - gelagat sama ketika tewas kepada Itali - diulangi yang membenar Suarez membuka tirai jaringan.

Penyerang itu mudah memperdayakan benteng England dan penjaga gol, Joe Hart dengan satu tandukan baik selepas menerima umpanan daripada Edinson Cavani pada minit ke-39.

England menyamakan kedudukan pada minit ke-75 apabila Rooney menyambung masuk kemas hantaran paras rendah Glen Johnson untuk gol pertamanya dalam Piala Dunia selepas tiga percubaan.

Namun, Suarez - pemain terbaik Liga Perdana Inggeris - merembat masuk gol kemenangan pada minit ke-85 selepas England gagal menyekat bola hantaran jauh penjaga gol, Fernando Muslera.

Uruguay kini menyertai Itali dan Costa Rica dengan himpunan tiga mata manakala England tanpa sebarang mata selepas dua kekalahan dan mungkin tersingkir daripada peringkat kumpulan buat pertama kali sejak 1958. - AFP


EmoticonEmoticon