04 Jun, 2014

Rumah kebajikan lubuk maksiat

Gambar hiasan
JASIN - Siapa sangka sebuah premis persatuan kebajikan di Selandar, dekat sini yang sepatutnya dijadikan tempat warga emas melakukan aktiviti berfaedah, sebenarnya tersimpan satu rahsia.

Sebuah bilik di premis berkenaan merupakan lubuk duit haram yang menjadi tumpuan kaki judi.

Kegiatan di premis yang turut mempunyai papan tanda sebuah persatuan kebajikan itu bagaimanapun berjaya dihidu polis, petang kelmarin.

Beberapa lelaki dilihat cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan, selain pelbagai alasan diberikan pengunjung premis berkenaan bagi mengelak ditahan.

Provokasi dilakukan beberapa lelaki ketika soal siasat awal bagaimanapun berjaya diatasi polis sebelum mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk siasatan lanjut.
Anggota polis memeriksa tempat bermain mahjong dalam serbuan dalam premis terbabit, petang kelmarin
Sekumpulan 12 lelaki disyaki kaki judi turut ditahan bersama wang tunai RM13,000 ketika serbuan dalam Ops Dadu selama kira-kira dua jam yang berakhir 7.30 malam di premis di Kampung Baru On Lok, di sini.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri, Asisten Superintendan Azhar Abdul Rahim berkata, kesemua lelaki berusia 32 hingga 55 tahun itu ditahan dalam operasi yang disertai seorang pegawai dan sembilan anggota D7 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

“Mereka ditahan dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi 1935 sebelum lapan daripadanya dilepaskan dengan dokumentasi mengikut Seksyen 3(1) Akta Mencegah Jenayah (AMJ).

“Hasil serbuan, kita turut merampas 114 batu mahjong, dua dadu, 10 keping kertas mahjong, 61 cip pelbagai warna, sebuah meja kayu dan empat kerusi,” katanya.


EmoticonEmoticon