26 Jun, 2014

'Saya Ada Gambar Skandal Seks Pegawai Kanan Polis'

NGO pemantau jenayah MyWatch mendakwa menerima satu set gambar dan dokumen berhubung skandal seks melibatkan seorang pegawai kanan polis.

Pengerusi NGO tersebut R Sri Sanjeevan yang enggan menamakan pegawai tersebut bekata, MyWatch sedia mendedahkan gambar dan dokumen tersebut kepada umum.

Bagaimanapun, beliau meminta jaminan daripada perdana menteri dan menteri dalam negeri agar tidak mengambil tindakan ke atasnya.

“MyWatch mahu mendapat jaminan dari Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa mereka terus menggantung tugas pegawai tersebut, tanpa mengira pangkat dan gelarannya, dan mengarahkan siasatan menyeluruh dalam perkara ini

“MyWatch sudah membuat pelbagai pendedahan sebelum ini dan menggesa siasatan penuh dijalankan. Namun, sedihnya, semua pendedahan ini disorokkan,” dakwa Sanjeevan dalam satu kenyataan.

Katanya, MyWatch sedia mendedahkan bahan tersebut sekiranya diberi jaminan, seperti diminta.

“Ini adalah satu lagi peluang bagi perdana menteri dan menteri dalam negeri untuk menunjukkan bahawa mereka tidak berkompromi dengan salah laku atau salah guna kuasa melibatkan pegawai tinggi polis, dan bersedia bertindak atas maklumat,” katanya.

Beliau yang pernah mengalami kecederaan parah akibat ditembak beberapa kali sebelum ini, turut menyatakan bahawa langkah terbaru ini mungkin mendedahkan beliau kepada risiko sekali lagi. – Malaysiakini.com


EmoticonEmoticon