30 Jun, 2014

Suami datang sendiri jemput isteri dicekup khalwat dalam hotel bajet

Gambar hiasan
ALOR GAJAH - Seorang wanita sanggup mengaku janda dan tunangan kepada lelaki yang dicekup bersamanya ketika Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) membuat serbuan di sebuah hotel bajet, di Rembia di sini, kelmarin.

Ketua Penguatkuasanya, Rahimin Bani berkata, wanita berusia 33 tahun dan pasangan mudanya berusia 26 tahun itu ditahan ketika serbuan kira-kira jam 11 pagi.

“Wanita itu ditemui berdua-duaan di dalam salah satu bilik di hotel berkenaan selepas pintu dibuka lelaki kira-kira 20 minit diarahkan berbuat demikian.

“Mereka yang berpakaian lengkap mengaku sudab bertunang ketika disoal mengenai status dan hubungan antara mereka," katanya di sini, semalam.

Rahimin berkata, rahsia wanita tersebut isteri orang hanya terbongkar apabila suaminya sendiri datang ke pejabat penguatkuasa Jaim di Bukit Palah, malam kelmarin.

“Suaminya seorang tentera dan mereka yang mempunyai dua anak kini menetap di negeri ini datang ke pejabat kira-kira jam 11 malam.

“Maklumat lelaki berkenaan diambil bagi membantu siasatan terhadap isterinya yang ditangkap berkhalwat dengan pasangan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya.

Seramai tiga pegawai dan dua anggota polis terlibat dalam pemeriksaan terhadap wanita yang berasal daripada Negeri Sembilan dan pasangannya yang berniaga sendiri, berasal dari Kelantan.


EmoticonEmoticon