15 Jun, 2014

Wanita dakwa dirogol selepas tonton Piala Dunia

SAO PAULO: Seorang anggota Polis di salah satu negeri di Brazil, Mato Grosso disiasat atas tuduhan merogol seorang wanita Amerika Syarikat (AS) selepas perlawanan membabitkan Australia dan Chile, Sabtu lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan awam polis Mato Grosso, wanita berusia 24 tahun itu kemudian ditemani wakil daripada kedutaan AS ke hospital di Cuiaba.

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika mangsa dan teman lelakinya berada di rumah seorang yang mereka kenali ketika meraikan Piala Dunia sebelum terjaga daripada tidur dan menjerit apabila mendapati seorang lelaki berada di atasnya.

Beberapa orang turut disoal siasat mengenai insiden itu termasuk pemilik rumah namun tiada seorang pun ditahan, menurut polis.

Jurucakap kedutaan AS di Brasilia berkata pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai laporan kes itu namun tidak boleh memberikan sebarang komen atas sekatan undang-undang privasi.

Cuiaba yang berada di tengah Brazil dan kebiasaannya tidak mendapat kunjungan ramai pelancong akan menjadi tuan rumah kepada tiga lagi perlawanan membabitkan Russia menentang Korea Selatan, Ngieria mln Bosnia dan Jepun menentang Colombia.

Brazil sudah pun meningkatkan tahap keselamatan bagi menghadapi Piala Dunia dengan kira-kira 100,000 polis melakukan rondaan di semua 12 venue perlawanan selain dikuatkan dengan hampir 60,000 tentera.

Setakat ini, kejohanan berjalan lancar namun terdapat laporan mengenai rompakan di beberapa venue perlawanan, termasuk 12 kes yang membabitkan pelancong yang dilaporkan polis di Cuiaba. - Reuters


EmoticonEmoticon