24 Julai, 2014

#MH17 satukan ahli Parlimen kerajaan, pembangkang

KUALA LUMPUR - Tragedi malang pesawat Malaysian Airlines (MAS) penerbangan MH17 telah menyatukan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam kerjasama dan sokongan kepada kerajaan demi mencari keadilan untuk penumpang dan anak kapal MH17.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sikap anggota Dewan Rakyat yang bersatu hati dan memberi sepenuh sokongan kepada negara perlu diteruskan supaya usaha mengheret pihak tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan dapat dilakukan.

“Kita melalui jalan yang bukan mudah tapi mesej yang kita sampaikan kepada dunia adalah jelas tanpa mengira sama ada mereka daripada kuasa besar seperti Rusia atau kerajaan Ukraine mahupun pihak pemisah.

“Walaupun kita negara kecil tapi hati kita besar dan kita mahu lakukan apa saja yang terbaik untuk dapatkan keadilan kepada mangsa”, katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.

Ahmad Shabery turut meminta rakyat menghentikan segala tohmahan dan spekulasi mengenai nahas itu yang disifatkannya sebagai perbuatan tidak sensitif.

Ahli Parlimen Bagan (DAP), Lim Guan Eng berkata adalah amat penting untuk semua pihak bersatu padu ketika negara sedang bersedih ekoran tragedi MH17, di Ukraine, Khamis lepas.

Katanya parti pembangkang juga ingin menunjukkan pada dunia bahawa mereka bersama-sama dengan kerajaan dalam hal ini untuk mengutuk sekeras-kerasnya tragedi yang menimpa pesawat negara itu selain membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata masyarakat antarabangsa perlu memberi kerjasama serta sokongan dalam membantu Malaysia mencari keadilan terhadap kesemua mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.

"Kita bukan nak tuding jari kepada mana-mana pihak dan bukan nak balas dendam tapi kita perlu cari keadilan di peringkat antarabangsa kerana ia membabitkan satu pesawat kormersial.

"Kalau sekiranya tiada peraturan tegas diperakukan semua pihak, maka perlu bagi kita untuk mendalami apa sebenarnya yang berlaku dan perlunya masyarakat antarabangsa untuk tidak melindungi mana-mana pihak sama ada kuasa besar atau kuasa kecil untuk pastikan supaya kita heret mereka (penjenayah) ke mahkamah antarabangsa," katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata pendekatan yang diambil Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak terikut-ikut dengan keadaan geopolitik di Ukraine telah berjaya membawa keluar mayat mangsa nahas itu selain mendapat kotak hitam untuk siasatan lanjut.

Mengulas mengenai siasatan yang dijalankan kementerian berhubung nahas itu, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata : “Kita mempunyai kepakaran. Konsensus daripada pertubuhan antarabangsa adalah kita melalui proses itu dan saya percaya bahagian paling sukar adalah untuk membawa keluar mayat dan kota hitam, namun perkara itu telah tercapai, kita akan bergerak dari situ," katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata Malaysia sememangnya sedang menghadapi cabaran yang begitu besar dalam insiden MH17 meskipun baharu sahaja melepasi tragedi kehilangan MH370 kira-kira empat bulan lepas.

Katanya ketika inilah semua rakyat harus bersatu padu mengharungi cabaran itu dengan memberikan sepenuh sokongan kepada pasukan dan anggota keluarga mangsa tragedi itu.

"Usul yang dibentangkan pada hari ini berhubung insiden MH17 adalah satu tindakan yang dibuat tepat pada masanya dan ini menunjukkan pemimpin kita begitu prihatin untuk menyuarakan pandangan rakyat dan menunjukkan solidariti dalam sidang tergempar ini," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata langkah yang diambil oleh Najib itu terbukti bijak dan turut mendapat sokongan parti pembangkang.

"Usaha beliau merupakan sebahagian daripada jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini dan sekiranya tidak mendapat kotak hitam dan mayat, maka semua pihak akan menuding jari terhadap kita," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong melahirkan rasa bangga kerana anggota parlimen kedua-dua pihak iaitu BN dan Pakatan Rakyat menunjukkan sokongan penuh terhadap usul mengenai insiden MH17.

"Apabila semua anggota parlimen tidak kira latar belakang politik membahas tentang insiden itu, saya rasa terharu dan bangga kerana masing-masing telah menunjukkan rasa simpati dan sokongan padu dalam menghadapai cabaran getir ini.

"Walaupun sudah dua kali MAS mengalami tamparan besar dalam masa yang begitu singkat ini, saya tetap akan menggunakan perkhidmatan MAS kerana sebagai rakyat Malaysia kita perlu mengembalikan keyakinan produk sendiri untuk terus dipasarkan ke peringkat antarabangsa," katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyambut baik usul yang dibentangkan dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat membincangkan tragedi MH17 hari ini.

“Ia satu permulaan yang baik. Saya gembira melihat sesetengah isu daripada parti saya turut dikongsi.Kami mahu terlibat semasa taklimat," katanya.

Nurul Izzah turut menegaskan pendirian parti itu supaya pihak yang bertanggungjawab dalam nahas tersebut dibawa ke muka pengadilan selain perbincangan lebih mendalam mengenai nahas itu diteruskan. - Bernama


EmoticonEmoticon