22 Julai, 2014

#MH17: Tragedi berkembar adalah ujian Allah SWT

Putrajaya: Dua tragedi membabitkan Penerbangan Malaysia (MAS) dalam empat bulan adalah ujian daripada Allah SWT dan tiada siapa pun boleh meletakkan kesalahan pada kerajaan Malaysia atau syarikat penerbangan kebangsaan itu, kata mufti terkemuka dari Zimbabwe, Mufti Ismail Musa Menk.

Penceramah motivasi popular itu berkata tragedi berkenaan bukanlah satu hukuman daripada Allah dan ia tidak bermakna apabila seseorang itu ditimpa musibah, Allah murka terhadap mereka.


"Hakikatnya ini adalah ujian yang kita, sebagai orang beriman, percaya bahawa ujian bermaksud takdir yang perlu kita tempuhi dengan sebaik mungkin," katanya selepas mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mufti Menk berkata pihak yang menyalahkan Malaysia atau MAS sebenarnya tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku.

"Saya rasa tidak adil untuk menyalahkan kerajaan Malaysia dan MAS. Saya rasa adalah naif dan tidak tepat sebab perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa pun.

"Malaysia terpaksa melalui semua ini dan ia bukanlah pilihan mereka sama sekali. Perkara ini sudah ditakdirkan dan tiada apa yang boleh Malaysia lakukan," katanya.

Menk berkata kunjungan hormatnya ke atas Najib itu bertujuan menzahirkan setiakawan kepada Malaysia dan kepimpinannya, serta keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi itu.

Beliau berkata hakikat bahawa MAS ditimpa musibah dua kali dalam tempoh sebegitu singkat merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk memperlihatkan semangat setiakawan kepada mereka yang terlibat menerusi apa jua cara, lebih-lebih lagi kepada kepimpinan negara ini yang terpaksa memikul tanggungjawab berat berikutan tragedi ini," katanya.

Menk berada di Malaysia sejak hari pertama Ramadan dan akan berada di negara ini sehingga selepas Aidilfitri. - Bernama


EmoticonEmoticon