21 Julai, 2014

Najib mahu mayat mangsa #MH17 dibawa pulang sebelum raya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mahu membawa pulang jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam penerbangan MH17 sebelum hari raya ini.

"Kita hendak sebelum hari raya ini, mangsa itu dapat dibawa keluar.

“Mereka yang sudah dikenal pasti identitinya oleh kerajaan Malaysia akan dibawa balik ke tanah air supaya boleh disemadikan di bumi Malaysia," kata beliau dalam satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur hari ini.

Perayaan Aidilfitri tahun ini dijangka jatuh pada 28 Julai.

Penerbangan MH17 dipercayai ditembak jatuh di wilayah kawalan kumpulan pemisah dukungan Rusia di timur Ukraine.

Najib turut bimbang laporan bahawa mayat itu diusik oleh kumpulan yang tidak dikenal pasti.

"Kita tak boleh biarkan keadaan di mana mereka boleh dibawa sesiapa sahaja boleh mengalihkan mangsa dan diletak di tempat yang kita tidak ketahui," kata beliau.

Pihak Ukraine mendakwa kumpulan pemisah itu "memaksa" pekerja kecemasan menyerahkan lebih 196 mayat yang ditemui setakat ini.

Associated Press melaporkan Kiev mendakwa mayat itu dimasukkan ke dalam peti sejuk kereta api dan dibawa ke bandar milik kumpulan pemisah itu.


EmoticonEmoticon