20 Julai, 2014

Najib: M'sia pastikan kotak hitam #MH17 tak diambil alih

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia sebagai pemilik kapal terbang Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Ukraine akan memastikan bahawa kotak hitamnya tidak dikuasai pihak yang tidak ada kena mengena dengan insiden itu.

Mengikut peraturan antarabangsa, pemilik pesawat berhak ke atas kotak hitam itu, katanya.

"Kotak hitam itu mesti ikut pada undang-undang antarabangsa dan mereka yang tidak berhak, tidak boleh menguasai dan mengambil alih kotak hitam itu," katanya kepada media selepas meluangkan masa bertemu dengan keluarga mangsa nahas pesawat MH17 di Putrajaya hari ini.

Turut bersama bertemu secara peribadi dengan keluarga tersebut ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Melahirkan rasa sedih bagi pihak kerajaan di atas tragedi itu, Perdana Menteri menyatakan komitmen kerajaan akan melakukan yang terbaik terutama untuk membawa balik mangsa tragedi terbabit.

"Sehubungan dengan ini pasukan kita telah pun sampai di Kiev, dan kita sedang mengatur supaya kita dapat masuk ke kawasan kejadian, kawasan ini lebih kurang 400km jauh jadi ada beberapa kaedah yang kita tentukan sebelum mereka boleh masuk ke kawasan tersebut," katanya.

Najib berkata difahamkan pihak pemberontak bersetuju untuk mewujudkan koridor yang selamat kepada pasukan 'recovery' dan juga pasukan penyiasat.

"Saya harap mereka akan menunaikan apa yang telah mereka nyatakan sebab ini merupakan satu kejadian yang bersifat amat serius dan begitu ramai yang terlibat dalam kejadian ini dan mereka perlu menunjukkan rasa simpati dan nilai kemanusiaan yang sepatutnya ditunjukkan kepada Malaysia dan negara lain sebab mereka semua ini tidak berdosa sama sekali," kata Najib.

- Bernama


EmoticonEmoticon