29 Julai, 2014

Pertukaran MB S'ngor: Anwar mula dedah 'cerita sebenar'

PETALING JAYA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya semangat muafakat dalam Pakatan Rakyat akan terus dikekalkan dan seterusnya mendukung perubahan dengan menjana pertumbuhan ekonomi mampan yang lebih prihatin akan permasalahan rakyat.

Menurutnya, pertukaran jawatan Menteri Besar ini merupakan kesinambungan Langkah Kajang yang diputuskan secara muktamad oleh pimpinan PKR sejak 15 Januari lalu.

“Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri telah dimaklumkan semenjak Mac 2014 dan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah telah pun dikemukakan secara rasmi kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa jawatan Menteri Besar yang baru akan digantikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Walaubagaimanapun, cadangan daripada PKR itu telah mendapat tentangan daripada pucuk pimpinan dalam PAS.

Semalam Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada sebab Khalid perlu digugurkan setelah sepenggal beliau memimpin dengan cemerlang dan terus meningkat selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Katanya, persoalan sama ada Khalid wajar digugurkan kerana kelemahan pentadbiran perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat sebelum isu pengganti dibincangkan.

“Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai,” katanya yang kecewa bulan Ramadan dijadikan masa untuk berpolemik.


EmoticonEmoticon