09 Julai, 2014

Piala Dunia: Loew faham derita Brazil; dia imbau detik duka 2006

BELO HORIZONTE: Jurulatih Jerman, Joachim Loew memahami ‘kejutan dan keperitan’ yang dirasai Brazil selepas kekalahan besar 7-1 di laman sendiri dengan mengimbau detik duka ketika Jerman tewas kepada Itali di peringkat sama pada 2006.

“Kami juga terkejut dan merasai perkara yang sama pada 2006. Mereka terkejut dan tidak menyangka terlalu jauh ketinggalan. Dan selepas itu, ia perlawanan yang mudah buat kami,” kata Loew yang bergelar pembantu jurulatih Jerman kepada Juergen Klinsmann ketika itu.
Jerman tewas 2-0 ketika perlawanan diheret ke masa tambahan pada perlawanan itu dan Loew berkata, tekanan yang tinggi diletakkan kepada tuan rumah boleh menjadi beban.


“Kami mempunyai harapan yang tinggi juga pada 2006 dan kami boleh merasakan tekanan yang dihadapi tuan rumah pada perlawanan seperti ini. Semua 200 juta penduduk di sini mahu kamu layak ke final. Ia mampu memberikan ketegangan kepada pemain kamu.

“Saya merasa simpati kepadanya (jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari). Saya fikir saya tahu bagaimana dia rasa,” kata Loew yang gembira dengan persembahan dilakukan anak buahnya selepas beraksi goyah ketika pusingan kedua menentang Algeria.

“Lima gol dalam 18 minit. Ia jelas yang kami juga terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dibuat. Semua orang melakukan kerja mereka dengan baik hari ini dan penuh tumpuan. Namun ia perlu diteruskan. Kami perlu kekal merendah diri. Kami perlu kekal fokus sehingga Ahad (Pagi Isnin).”

Loew berkata, dia tidak kisah sama ada bertemu Argentina mahupun Belanda di final. - Reuters


EmoticonEmoticon