09 Julai, 2014

Piala Dunia: Mueller terkejut, anggap Jerman menang ‘gila’

BELO HORIZONTE: Peledak berbisa Jerman, Thomas Mueller mengakui terkejut selepas kemenangan ‘gila’ 7-1 pasukannya menundukkan Brazil untuk melangkah ke final Piala Dunia.

“Perkara ini tidak pernah dijangka,” kata bintang kelab gergasi Jerman, Bayern Munich itu selepas membantu skuad negara merakamkan kemenangan ke atas tuan rumah yang mengejutkan tontonan global, awal pagi tadi.

“Secara jujur, saya tidak tahu apa yang mahu dikatakan. Saya tidak boleh mempercayainya. Ia sesuatu yang amat gila. Saya bermain dengan amat baik hari ini.”

Begitupun, Mueller tidak mahu terbawa-bawa dengan kemenangan itu sebaliknya menggesa rakan sepasukan supaya fokus pada aksi final di Stadium Maracana yang dijadual berlangsung awal pagi Isnin ini.

“Kini kami perlu mengharunginya berhabis-habisan sekali lagi. Kami perlu bekerja keras untuk mendapatkannya.”

Mueller meledak jaringan pembukaan ketika menentang Brazil yang juga gol kelimanya dalam edisi kali ini.

Pada 2010, Mueller turut berkongsi anugerah penjaring gol terbanyak dengan lima gol bersama pemain Sepanyol, David Villa dan pemain Belanda, Wesley Sneijder.
Jerman yang memburu kejuaraan ketiga Piala Dunia akan menunggu lawan sama ada Argentina atau Belanda yang akan ditentukan awal pagi esok. - AFP


EmoticonEmoticon