09 Julai, 2014

Piala Dunia: Scolari mohon maaf, akur dia bertanggungjawab penuh

BELO HORIZONTE: Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari meminta maaf kepada seluruh rakyat negara itu selepas skuad bimbingannya menanggung derita kekalahan memalukan apabila dibaham Jerman 7-1, awal pagi tadi.

“Kami meminta maaf,” kata Scolari, 65 selepas menyaksikan pasukannya tersungkur di separuh akhir di laman sendiri. “Kepada semua rakyat Brazil, saya mohon kemaafan kerana kesilapan negatif ini.”
Scolari sebelum ini pernah membimbing Brazil menjuarai Piala Dunia pada 2002 turut berkata akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada prestasi hambar skuad bimbingannya.


“Saya bertanggungjawab kepada apa yang pasukan saya lakukan di dalam dan luar padang dan saya yang perlu dipersalahkan dengan keputusan ini. Saya minta maaf kerana kami tidak mampu mencapai sasaran kami.

“Peminat masih lagi menyokong kami sekalipun kami sudah dibolosi lima, enam atau tujuh gol kepada Jerman.

“Bukan sesuatu yang normal kamu melepaskan empat gol dalam masa enam minit namun ia boleh berlaku. Malah Jerman juga seakan-akan tidak percaya ia boleh berlaku,” kata Scolari yang turut menggambarkan kekalahan itu sebagai hari terburuk buatnya.

“Saya fikir ia hari terburuk saya, namun hidup perlu diteruskan. Saya akan sentiasa dikenang sebagai jurulatih yang tewas 7-1 namun saya sedar itulah risikonya ketika mengambil alih tugas ini.
“Mesej saya kepada seluruh rakyat Brazil dan peminatnya ialah kami sudah lakukan yang termampu dan kami fikir kami melakukan yang terbaik.” - AFP

INFO: Kekalahan 1-7 Brazil di separuh akhir kepada Jerman memecah pelbagai rekod buat tuan rumah selain Piala Dunia

Rekod kekalahan terbesar Brazil: 6-0 kepada Uruguay (Copa America, September 1920)
Rekod kekalahan terbesar di laman sendiri: 1-5 kepada Argentina (Persahabatan, Januari 1939)
Rekod kekalahan terbesar Brazil di Piala Dunia: 0-3 kepada Perancis (final, Julai 1998)
Rekod bolos terburuk Brazil di Piala Dunia: Brazil 6-5 Poland (Jun 1938)
Rekod kekalahan terbesar tuan rumah Piala Dunia: Sweden 2-5 Brazil (final, Jun 1958), Mexico 1-4 Itali (suku akhir, Jun 1970), Afrika Selatan 0-3 Uruguay (peringkat kumpulan, Jun 2010)
Rekod bolos terburuk tuan rumah dalam satu perlawanan: Switzerland 5-7 Austria (suku akhir; Lausanne; Jun 1954)
Rekod kemenangan terbesar di Piala Dunia: Argentina 6-1 Amerika Syarikat (Montevideo; Julai 1930); Uruguay 6-1 Yugoslavia (Montevideo; Julai 1930); Jerman 6-1 Austria (Basel, Switzerland; Jun 1954), Argentina 6-0 Peru, 1978.


EmoticonEmoticon