27 Julai, 2014

Sukan Komanwel: Nicol mara ke separuh akhir

GLASGOW: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David menepati ramalan apabila melangkah ke separuh akhir dengan mengetepikan Jenny Duncalf pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di sini.

Nicol, pemain nombor satu dunia, mengatasi pemain England itu 3-1 dalam pertarungan suku akhir selama 56 minit.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 30 tahun itu memenangi dua set pertama dengan 11-9 dan 11-7 sebelum Jenny bangkit semula untuk memenangi set ketiga 11-5.

Bagaimanapun, Nicol, mengesahkan kemenangan dengan keputusan 11-4 pada set keempat.

"Jenny merupakan pemain berpengalaman dan saya terpaksa bekerja keras khusus dalam set keempat. Perlawanan ini memang sengit dari mula lagi," katanya.

Beliau akan berdepan dengan pemain new Zealand, Joelle King, pada separuh akhir esok.

Joelle menempah slot separuh akhir dengan mengatasi pemain Ireland, Madeline Perry dengan keputusan 11-6, 11-4 dan 11-6 dalam pertarungan suku akhir yang mengambil masa 36 minit.
Mengenai pertarungan dengan Jolle, Nicol berkata: "Perlawanan dijangka hebat dan saya tidak boleh leka."

Sementara itu, pemain nombur dua negara, Low Wee Wern akan berdepan dengan juara dunia Laura Massaro dari England pada perlawanan suku akhir, lewat hari ini.

- BERNAMA


EmoticonEmoticon